Pemandu pikap 'terbang' hempap lima kereta didakwa positif dadah 

Pemandu pikap ‘terbang’ hempap lima kereta didakwa positif dadah 

ANUAR Baharin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kemalangan. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima pemandu lain, minggu lalu.

Tertuduh, Anuar Baharin, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu pacuan empat roda didapati positif methamphetamine dalam badannya, hasil ujian saringan awal air kencing sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Malim dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6.35 pagi, 25 September 2025.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tujuh tahun sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek memohon nilai lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan menanggung dua anak kecil.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesen digantung sehingga kes selesai. Kes disebut semula pada 4 November ini.

Minggu lalu, tular satu klip video memaparkan pikap jenis Mitsubishi Triton terbabas lalu ‘terbang’ melintasi pembahagi jalan sebelum menghempap lima kereta yang berhenti di lampu isyarat di Lebuh AMJ. 

Nahas itu membabitkan dua kereta BMW, sebuah Perodua Axia, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, kesemua enam mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×