Dua lelaki ditahan jual jus berperisa dadah untuk berhibur

Dua lelaki ditahan jual jus berperisa dadah untuk berhibur

SULIZMIE Affendy Sulaiman ketika sidang media mengenai jenayah narkotik di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki mencampurkan dadah jenis Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) ke dalam air minuman jus berperisa sebelum dijual semula di pusat hiburan terbongkar selepas ditahan pada 25 September lalu.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 30 dan 32 tahun itu dilakukan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi yang menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Yap Kwan Seng pukul 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan di dalam kediaman itu telah menemukan 503 botol mengandungi cecair jenis MDMA, erimin 5 dan ketamin.

Katanya, kedua-dua suspek dikatakan telah menyewa pangsapuri berkenaan bagi sejak awal tahun ini bagi melakukan pembungkusan semula dadah ke dalam botol air minuman berperisa.

“Selepas itu, botol-botol air berperisa yang mengandungi dadah kemudiannya dihantar oleh kedua-dua suspek kepada pelanggan mereka.

“Sebotol minuman air berperisa akan dijual dengan harga RM400. Bagi satu kali penghantaran kedua-dua mereka akan menerima upah RM100,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM251,020 dan boleh digunakan sehingga 3,631 pengguna.

Ujarnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan lanjut mendapati seorang daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Sindiket ini dikesan melakukan transaksi jual beli menerusi aplikasi WeChat. Kedua-dua suspek mengaku terlibat secara langsung dalam pengedaran dadah ini dan bertindak sebagai penghantar,” jelasnya.

Sulizmie Affendy berkata, seorang suspek berusia 32 tahun direman lima hari sehingga esok manakala rakanya berusia 30 tahun direman tujuh hari sehingga 2 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.

“Polis turut menyita dua kenderaan bernilai RM50,000 dan wang tunai RM140 yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran dadah, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan sebanyak RM 301,160,” jelasnya.

Tegasnya, polis juga sedang memburu saki baki ahli sindiket lain yang masih bebas.

“Orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×