DI sebuah sudut halaman rumah di Taman Desa Anggerik, Seremban bau kopi yang harum sering menyapa jiran dan pelanggan yang lalu-lalang.
Halaman rumah yang dulunya hanya tempat keluarga bersantai kini menjadi pusat tumpuan pencinta kopi.
Kopikita & Brew Enterprise bukan sekadar menjual minuman, tetapi membuktikan bahawa kadangkala, kejayaan bermula dari halaman sendiri.
Di situlah bermulanya kisah pemilik syarikat, Meor Mohd Firdaus, 42, yang menjadikan kawasan halaman rumahnya sebagai tapak permulaan perniagaan kopi.
Bukan sekadar menjual minuman, Meor membawa bersama pengalaman luasnya sebagai bekas Pengurus Bahagian Perkhidmatan Minuman di Cyberview Resort & Spa.
Dunia kopi sudah sebati dengan dirinya, namun siapa sangka, langkah berani membuka perniagaan di halaman rumah akhirnya membuahkan hasil.
“Idea ini datang sebab permintaan terhadap kopi memang tinggi. Saya pula memang dalam bidang sama. Jadi saya fikir, kenapa tak mula dari rumah dulu?.
“Saya memulakan perniagaan pada 4 November 2024, dengan bermodalkan sekitar RM7,000 ke RM8,000 sahaja.
“Alhamdulillah, setelah hampir setahun berniaga, jenama kopi Blend Coffee Roaster kini mampu meraih jualan sekitar RM8,000 hingga RM11,000 sebulan.
“Pelanggan yang datang ke sini bukan sahaja dari sekitar kawasan, malah ada yang menempah melalui Shopee dan Foodpanda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya, apa yang menarik dengan perniagaannya adalah suasana santai di halaman rumah memberi kelainan buat pelanggan.
“Ada yang datang bukan sekadar untuk minum kopi, tetapi juga untuk merasai keakraban layanan tuan rumah.
“Pelanggan suka suasana di rumah. Mereka rasa lebih dekat, lebih mesra. Kadang ada yang kata, kopi kat sini lain auranya sebab minum terus di halaman rumah,” katanya.
Dari segi penghasilan kopi, Meor berkata, dia amat menitikberatkan dalam soal rasa.
“Saya akui memang banyak perniagaan kopi diluar sana tetapi sebelum saya menceburi bidang ini saya terlebih dahulu membuat kajian menerusi pembacaan buku dan eksperimen sendiri dalam tempoh lima hingga enam bulan.
“Kopi saya menggunakan house blend Brazil dan Colombia dengan rasa nutty dan chocolaty dan matcha pula diimport dari Jepun dan China, dengan rasa asli dan tidak terlalu manis. Harga yang dijual bermula antara RM7 hingga RM11.
“Saya bermula dengan mesin biasa sahaja. Yang penting ilmu dan konsistensi. Pelanggan lebih hargai rasa dan servis berbanding jenama mesin. Bila jualan meningkat, barulah kita naik taraf,” jelasnya.
Namun, dia mengakui berniaga di halaman rumah bukannya mudah kerana hujan boleh menjejaskan operasi, kos bahan mentah pula sering naik turun , malah persaingan harga dari kedai besar juga menjadi cabaran.
“Tetapi bagi saya, keunikan lokasi itulah yang menjadikan perniagaannya lain daripada yang lain.
“Kalau semua orang buka kedai kopi di premis, saya nak tonjolkan sisi berbeza suasana kopi dari halaman rumah. Ia bukan sekadar tempat beli minuman, tapi satu pengalaman,” katanya.
Melihat sambutan yang semakin baik, Meor menyasarkan untuk membuka sebuah kafe kecil dalam tempoh tiga tahun.
“Pada masa sama saya bercadang meluaskan pasaran dengan produk ready-to-drink dalam botol.
“Berniaga dari rumah ajar saya bahawa dengan modal kecil pun boleh bermula. Yang penting usaha konsisten, kreatif tarik pelanggan dan jangan takut mencuba,” katanya. – UTUSAN










