Kolam takungan jadi taman rekreasi moden

Kolam takungan jadi taman rekreasi moden

ORANG ramai beriadah di sekitar kolam takungan yang dinaik taraf sebagai kawasan rekreasi di Taman Belimbing, Jitra di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kolam takungan di Taman Belimbing, Jitra yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai infrastruktur saliran kini berwajah baharu apabila dinaik taraf menjadi taman rekreasi moden, sekali gus memberi nilai tambah kepada penduduk setempat.

Projek penyelenggaraan dan naik taraf yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) itu berjaya mengubah kawasan kolam yang kurang terurus kepada sebuah lokasi riadah komuniti yang lebih ceria, selamat dan mesra pengunjung.

Lokasi berhampiran Taman Belimbing, Taman Pulasan, Kampung Manggol Mukim dan Bukit Malau itu dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya laluan pejalan kaki di sepanjang benteng kolam, jambatan penghubung, wakaf, meja bersantai, gimnasium, par course serta laluan refleksologi.

Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman berkata, pelbagai spesies pokok berbunga, pokok renek dan pokok rendang turut ditanam sekali gus mewujudkan suasana hijau yang menyegarkan selain memperindahkan kawasan berkenaan.

“Selain penambahan kemudahan rekreasi, aspek keselamatan juga diberi keutamaan dengan pemasangan pagar baharu, kerja-kerja pembersihan mendapan pasir serta pembaikan struktur saliran air masuk dan keluar. 

“Rizab laluan penyelenggaraan selebar lapan meter di sekeliling kolam turut dikekalkan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan berkala pada masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, kolam itu turut menjadi habitat semula jadi bagi pelbagai spesies burung dan ikan air tawar, menjadikannya lokasi rekreasi yang sesuai untuk seisi keluarga sambil berlatar belakang pemandangan Bukit Malau dan sawah padi yang terbentang luas.

Tambah beliau, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Kolam Takungan Taman Belimbing kini menjadi ikon rekreasi baharu daerah Kubang Pasu, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan mengangkat imej kawasan perumahan berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×