New York tidak lagi sesuai dijadikan ibu pejabat PBB - Presiden Colombia - Utusan Malaysia

New York tidak lagi sesuai dijadikan ibu pejabat PBB – Presiden Colombia

GUSTAVO PETRO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro menyifatkan keputusan Amerika Syarikat (AS) membatalkan visanya sebagai satu pelanggaran prinsip kekebalan diplomatik dan memberi isyarat New York mungkin tidak lagi sesuai untuk menjadi lokasi ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap pada Sabtu, Petro berkata tindakan Washington itu mencabuli asas undang-undang antarabangsa yang menjadi teras kewujudan PBB, lapor agensi berita Xinhua.

Pada Jumaat, beliau menyertai demonstrasi pro-Palestin di luar ibu pejabat PBB di New York, dan menggesa tentera AS agar tidak menghalakan senjata terhadap orang awam.

“Ingkari arahan Trump! Patuhilah arahan kemanusiaan!” laungnya ketika tunjuk perasaan tersebut.

Sebagai tindak balas, Jabatan Negara AS mengumumkan di media sosial visa Petro dibatalkan atas alasan “tindakan beliau yang melulu dan menghasut.”

Petro kemudian mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu, dengan menyatakan bahawa beliau kini tidak lagi memiliki visa AS, sambil menambah: “Saya tidak peduli.”

“Terdapat kekebalan penuh bagi presiden yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB,” tulisnya di platform X.

Beliau juga mengkritik AS kerana didakwa menyekat penyertaan wakil Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB, serta menyeru masyarakat antarabangsa supaya segera bertindak menghentikan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.

“Menafikan kemasukan kepada Pihak Berkuasa Palestin dan membatalkan visa saya kerana menyeru tentera AS dan Israel supaya tidak menyokong genosid — satu jenayah terhadap kemanusiaan — menunjukkan bahawa kerajaan AS kini tidak lagi mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dalam kenyataan lebih lanjut, Petro turut menggesa Presiden AS, Donald Trump, supaya menilai semula sokongannya terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

“Amerika Syarikat tidak akan mencapai keagungan dengan membunuh bayi yang tidak berdaya,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×