Malaysia kemuka tiga syor perkukuh sistem antarabangsa

Malaysia kemuka tiga syor perkukuh sistem antarabangsa

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selaku Pengerusi ASEAN  tahun ini, Malaysia mendesak agar kuasa dikembalikan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan sistem antarabangsa dapat berfungsi dengan adil.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, badan tersebut perlu berperanan semula sebagai suara kepada  dunia selaras dengan prinsip asal penubuhannya.

Beliau turut menggesa agar kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB dihadkan atau dimansuhkan, dalam usaha menangani isu yang melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Pembaharuan bukan lagi satu pilihan. Ia kini satu keperluan mutlak bagi kita.

“Untuk terus relevan, kita tidak boleh kekal dengan sikap lama. Kita mesti berani seperti dahulu, bangkit daripada kemusnahan peperangan,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-80 di New York, Amerika Syarikat (AS).

Mohamad berkata, sistem kewangan dunia yang lebih terbuka dan saksama perlu di rangka untuk membantu negara-negara membangun.

“Mekanisme pembiayaan global perlu disusun bagi memastikan ketelusan dan keadilan untuk negara-negara membangun,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut menyatakan komitmen terhadap sebarang langkah untuk membantu rakyat Palestin termasuklah menerusi Deklarasi New York.

Katanya, penyelesaian terhadap konflik berpanjangan itu hanya boleh dicapai melalui tindakan tegas terhadap kuasa penceroboh serta sokongan jangka panjang ke arah pembangunan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berkerajaan sendiri.

Mohamad berkata, terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan pembaharuan ke atas struktur PBB bagi menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin upaya tidak  berulang pada masa hadapan.

“Isu Palestin telah menghantui PBB hampir sepanjang kewujudannya, dengan 77 daripada 80 tahun sejarah badan dunia diselubungi pembersihan etnik negara berkenaan.

“Jika kita gagal menyelesaikan isu ini, rakyat dunia akan hilang kepercayaan kepada (PBB) dan kepada sistem antarabangsa, kerana ini jelas satu bentuk penjajahan moden,” katanya.

Mohamad turut menyentuh isu berkaitan Laut China Selatan dengan menegaskan ia sebagai tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar dalam persaingan strategik. 

“Asia Tenggara dan perairannya tidak boleh sekali lagi menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar

“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan salah tafsir atau konflik di perairan yang dikongsi bersama.

“Kami juga akan terus memperjuangkan hak dan keperluan negara-negara di selatan global secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×