Doctors Without Borders terpaksa henti aktiviti perubatan di Gaza City akibat serangan Israel - Utusan Malaysia

Doctors Without Borders terpaksa henti aktiviti perubatan di Gaza City akibat serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Pertubuhan kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF) pada Jumaat mengumumkan mereka terpaksa menghentikan aktiviti perubatan penting di Gaza City selepas serangan Israel semakin memuncak, sekali gus meletakkan pesakit serta kakitangan dalam keadaan berisiko tinggi.

“Paras risiko yang tidak boleh diterima memaksa kami dengan berat hati menghentikan aktiviti menyelamat nyawa di Gaza City,” kata MSF dalam kenyataan, sambil menambah kereta kebal Israel kini berada kurang daripada satu kilometer dari fasiliti mereka.

Penyelaras kecemasan MSF di Gaza, Jacob Granger berkata, keputusan itu adalah pilihan terakhir yang terpaksa dibuat.

“Klinik kami kini dikepung tentera Israel. Ini adalah perkara terakhir yang kami mahu lakukan, sedangkan keperluan di Gaza City sangat besar termasuk bayi pramatang, pesakit dengan kecederaan parah dan penyakit kritikal yang tidak mampu bergerak serta kini berada dalam bahaya besar,” katanya.

Walaupun sebahagian penduduk telah melarikan diri ke selatan mengikut arahan pemindahan, MSF menegaskan ratusan ribu orang masih terperangkap di Gaza City.

“Bagi yang masih mampu keluar, mereka berdepan pilihan mustahil, sama ada kekal di tengah operasi ketenteraan yang sengit atau meninggalkan rumah, harta benda serta kenangan mereka,” tambah kenyataan itu.

Dalam seminggu lalu, MSF merekodkan lebih 3,600 konsultasi dan merawat 1,655 kes kekurangan zat makanan, selain pesakit trauma, mangsa kebakaran, wanita hamil dan pesakit lain yang memerlukan rawatan berterusan.

MSF memberi amaran hospital di seluruh Gaza kini sesak, kekurangan kakitangan, bekalan perubatan serta bahan api, menyebabkan ramai pesakit dalam keadaan kritikal.

“Penduduk Gaza City telah dibom berulang kali tanpa henti. Mereka keletihan dan sengaja dinafikan keperluan asas untuk terus hidup,” tegas MSF.

Pertubuhan itu sekali lagi mendesak gencatan senjata segera dan menuntut Israel menjamin akses tanpa halangan serta keselamatan untuk organisasi kemanusiaan, selain memastikan keadaan yang sesuai bagi penghantaran rawatan perubatan secara berterusan.

Walaupun operasi di Gaza City dihentikan, MSF masih meneruskan sokongan di hospital dan klinik lapangan di selatan serta tengah Gaza, termasuk Khan Younis dan Deir al-Balah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×