KUALA NERUS: Lebih 100 nelayan di sekitar Tok Jembal dan Kubang Badak, di sini menerima bekalan ais percuma yang dijana sepenuhnya daripada tenaga boleh diperbaharui menerusi projek Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Luar Pesisir (CEFORE) yang dibangunkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Petronas.
CEFORE merupakan model bersepadu pertama di Malaysia yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dengan sistem storan serta pengurusan tenaga, menjadikannya fasiliti perintis seumpamanya di negara ini.
Fasiliti tersebut mampu menjana elektrik mencukupi untuk menggerakkan mesin penjana ais berkapasiti antara 800 hingga 1,000 kilogram sehari yang diagihkan secara percuma kepada komuniti nelayan setempat.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, inisiatif itu memberi kelegaan besar kepada nelayan kerana membantu mereka menyimpan hasil tangkapan dengan lebih baik selain mengurangkan kos operasi harian.
“Keseluruhan tenaga dijana menerusi gabungan empat turbin angin berkapasiti 20 kilowatt setiap satu, sistem solar terapung 240 kilowatt dan penjana tenaga ombak 10 kilowatt. Semua tenaga yang dihasilkan disimpan dalam sistem bateri berkapasiti 1.3 megawatt jam, mencukupi untuk menampung keperluan elektrik setara 100 rumah,” katanya selepas majlis pelancaran CEFORE di Pantai Tok Jembal, semalam.
Majlis itu disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Pengerusi UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Projek bermula pada 2023 itu siap sepenuhnya Jun lalu selepas fasa pembinaan dimulakan pada Julai 2024.
Sementara itu, Mohd. Bakke berkata, CEFORE menjadi pemangkin pembangunan tenaga boleh diperbaharui generasi masa depan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta aspirasi rendah karbon negeri Terengganu. – UTUSAN











