BUDI95: JPJ rekod peningkatan transaksi perbaharui lesen memandu

BUDI95: JPJ rekod peningkatan transaksi perbaharui lesen memandu

AEDY Fadly Ramli (depan, kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2025 di Akademi JPJ, di Ayer Molek, Melaka hari ini. UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan mendadak jumlah transaksi pembaharuan lesen memandu di seluruh negara susulan pelaksanaan Subsidi Bersasar Petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) sejak diumumkan kerajaan pada 22 September lalu.

Berdasarkan rekod JPJ, sebanyak 23,125 transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dicatatkan pada 23 September, sebelum meningkat sedikit kepada 23,160 transaksi sehari selepas itu.

Seterusnya lonjakan besar berlaku pada 25 September apabila jumlah transaksi melonjak 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi melalui saluran JPJ termasuk Pos Malaysia dan MyEG.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, peningkatan itu membuktikan kesedaran masyarakat semakin tinggi terhadap kepentingan memperbaharui lesen memandu yang sah untuk menikmati manfaat BUDI95.

“Pada 25 September sahaja, jumlah transaksi pembaharuan lesen melonjak 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi. Trend ini jelas membuktikan semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif untuk menikmati manfaat BUDI95,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2025 di Akademi JPJ, di Ayer Molek di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat 26 September, negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut merekodkan jumlah transaksi yang tinggi berbanding negeri lain.

“Negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mencatatkan jumlah urusan yang tinggi dan inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

“Trend ini juga mencerminkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap kewajipan memiliki lesen sah seperti termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

Tambahnya, JPJ komited memastikan keberkesanan pengurusan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan optimum.

Katanya lagi, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan, akan terus diperkukuh supaya setiap proses pembaharuan lesen memandu dan pelaksanaan subsidi BUDI RON95 dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×