KOTA BHARU: Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang didakwa seolah-olah menganggap aktiviti di pengkalan haram sebagai ‘pekerjaan’ atau ‘sumber rezeki’ rakyat di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sesuatu yang mengelirukan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, kenyataan sedemikian malah menghina usaha pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan.
“Pengkalan haram adalah laluan utama penyeludupan dadah, senjata, rokok serta pelbagai barangan terlarang yang bukan sahaja merosakkan generasi muda malah mengancam kedaulatan negara.
“Menyifatkan kegiatan sebegini sebagai rezeki halal adalah satu bentuk normalisasi jenayah yang tidak boleh diterima,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, jika kerajaan negeri prihatin terhadap kebajikan rakyat, fokus sepatutnya menyediakan peluang pekerjaan sah, menarik pelaburan serta memperkukuh ekonomi setempat.
Katanya, menjadikan kesempitan hidup rakyat sebagai alasan mempertahan aktiviti haram jelas menunjukkan kegagalan dasar ekonomi kerajaan negeri sendiri.
Sehubungan itu, pihaknya menuntut penjelasan kerajaan negeri dan mendesak supaya pelan tindakan segera dirangka bagi mewujudkan ekonomi alternatif yang mampan untuk penduduk kawasan sempadan.
“Rakyat wajar dibantu melalui program ekonomi halal dan berdaya saing, bukannya dibiarkan bergantung kepada kegiatan jenayah yang menggugat keselamatan negara.
“Kami berdiri teguh bersama pasukan keselamatan dan pihak berkuasa dalam mengekang penyeludupan. Keselamatan negara dan maruah bangsa tidak boleh digadai atas nama ‘cari makan’. AMK Kelantan tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh kedaulatan undang-undang serta integriti negara,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri memohon supaya semua pihak terutama Kerajaan Persekutuan membantu penduduk yang mungkin menerima kesan daripada tindakan perobohan 212 pangkalan haram sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
“Tindakan perobohan tetap perlu dilaksanakan kerana ia merupakan langkah yang penting dalam usaha pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia mencegah aktiviti penyeludupan terutama dadah.
“Kita tidak membela aktiviti yang melanggar undang-undang, tetapi memahami bahawa tindakan merobohkan pangkalan haram akan menjejaskan kerja harian dan ‘cari makan’ rakyat,” ujarnya.-UTUSAN.










