KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan pernah meminta atau berbincang dengan dua ejen pelaburan berhubung pembayaran RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, 65, yang merupakan saksi pembelaan pertama berkata, beliau tidak pernah berunding dengan dua ejen Public Mutual iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid berhubung pembayaran itu.
Dalam pemeriksaan semula oleh peguamnya, M. Athimulan di Mahkamah Sesyen di sini semalam, Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas dan rekaan semata-mata.
Katanya, beliau tidak pernah bertemu dan membuat sebarang permintaan berkaitan komisen, pemberian mahupun bayaran pengenalan dengan mana-mana individu daripada syarikat tersebut.
Beliau juga menafikan mengarahkan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menyerahkan baki wang RM600,000 kepada Norhaili melalui cek Public Bank.
“Saya bersumpah di mahkamah bahawa apa yang saya nyatakan ini adalah benar. Malah saksi-saksi ketika ditanya bertubi-tubi pihak pendakwaan menegaskan bahawa tidak ada sebarang pemberian, perbincangan atau arahan daripada saya,” katanya.
Pada Rabu lalu, ketika pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Bung Moktar menafikan dakwaan Norhaili bahawa beliau meminta jumlah bayaran pengenalan dikurangkan daripada RM3 juta kepada RM2.8 juta.
Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual di Cawangan Public Bank, Taman Melawati antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang, pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut dituduh memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette pada 17 Jun 2015.
Zizie Izette, 46, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam pelaksanaan kesalahan tersebut.
Perbicaraan bersambung pada 27 November ini.-UTUSAN










