PN kukuh jika keputusan tidak dilakukan sebelah pihak - Hashim

PN kukuh jika keputusan tidak dilakukan sebelah pihak – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini akan lebih kukuh sekiranya setiap keputusan dibuat melalui perbincangan bersama, bukannya secara sebelah pihak.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tindakan Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri tanpa sebarang rundingan sebelum ini menjadi contoh keputusan yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, perkara sama turut melibatkan soal komposisi jawatan dalam PN yang ketika ini lebih didominasi Bersatu dan perlu disusun semula agar lebih seimbang.

“Saya selalu sebut, kita hendak berkawan, buat cara berkawan. Semua keputusan mesti dibincang, tidak boleh sebelah pihak. Seperti pengumuman calon Perdana Menteri oleh Bersatu, ia tidak wajar dibuat begitu kerana Pas pun tidak pernah menamakan calon Perdana Menteri dari parti itu.

“Namun, saya lihat mutakhir ini sudah ada ruang perbincangan semula antara kedua-dua parti bagi mengukuhkan PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, isu calon Perdana Menteri, bantuan pilihan raya serta siapa layak mengetuai PN hangat diperdebatkan apabila pemimpin Pas dan Bersatu saling berbalas kenyataan, menimbulkan bibit pergolakan dalam gabungan tersebut.

Muktamar Tahunan Pas di Kedah baru-baru ini turut meluluskan usul supaya Pas mengetuai PN dan bersedia menampilkan calon Perdana Menteri termasuk Ketua Menteri Sabah dari parti itu.

Mengulas perkara itu, Hashim berkata, perbezaan pandangan antara Pas dan Bersatu sebagai lumrah yang akhirnya bertujuan menguatkan PN.

“Kedua-dua parti saling memerlukan. Yang kuat bantu yang lemah supaya jadi lebih kuat. Kini pemimpin utama Bersatu juga sudah mula mengajak berbincang dan itu petanda positif untuk memperkukuh PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×