Perceraian bukan sekadar perpisahan antara suami dan isteri, tetapi boleh membawa perubahan besar kepada emosi anak-anak.
Kesan perceraian membuatkan anak-anak jadi keliru, sedih dan berasa tidak selamat.
Ada juga anak-anak mula melihat contoh perkahwinan dan cinta sebagai kegagalan setelah perceraian ibu bapa.
Mereka bimbang perkara sama berlaku pada masa depan mereka.
Namun, kesan tersebut boleh dikurangkan jika ibu bapa berupaya menguruskan perpisahan dengan penuh kematangan.
Masing-masing perlu berusaha mengetepikan ego dan saling menghormati demi anak-anak.
Minggu ini saya kongsikan kisah Shamsul (bukan nama sebenar) seorang bapa yang sanggup menelan ego demi kebahagiaan anak-anak.
Bekas isterinya, Ariana (bukan nama sebenar) yang dahulunya keras hati dan enggan berbaik berjaya dilembutkan dengan kesabaran.
Meskipun kedua-duanya tidak kembali bersama sebagai suami isteri, mereka memilih untuk tidak bermusuhan.
Keputusan itu dibuat demi memastikan ketiga-tiga anak mereka membesar dengan penuh kasih sayang.
Sepanjang 10 tahun berkahwin, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Amira, Danish dan Haikal (bukan nama sebenar) masing-masing berusia 9, 8 dan 6, ketika itu.
Anak-anaklah yang menjadi jambatan untuk mereka berdua kembali berbaik.
Bagi Shamsul walaupun rumah tangga mereka berakhir, tetapi tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap ada.
“Saya mahu anak-anak memiliki sebuah keluarga yang saling menyayangi walaupun kami sudah berpisah,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Membuka cerita, kata Shamsul, dia bercerai dengan Ariana, selepas tiada lagi persefahaman.
Berkahwin atas dasar cinta dan janji mahu sehidup semati, tetapi tidak kesampaian.
Badai rumah tangga melanda tanpa diduga. Pergaduhan kecil yang awalnya berpunca daripada kurangnya komunikasi, semakin membesar.
Masing-masing sibuk dengan kerja. Shamsul pernah meminta Ariana berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anak-anak dan keluarga.
Namun, Ariana tidak bersetuju dan mempersoalkan cadangannya.
Perang mulut sering berlaku antara mereka. Setiap kali bergaduh, dia mengakui sering meninggikan suara.
Ariana pula tidak mahu kalah, tetap mempertahankan pendiriannya.
Kemuncak kepada perselisihan itu akhirnya hubungan mereka sampai ke penghujung.
Shamsul menceraikan Ariana dengan talak satu.
Bukan tidak berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan, namun masing-masing mahu mempertahankan ego sendiri.
“Kami bercerai dengan hati penuh luka dan kemarahan. Pada awalnya, saya enggan berjumpa dan ambil kisah tentang anak-anak yang di bawah jagaan bekas isteri.
“Namun, semakin lama saya sedar tanggungjawab bapa tidak pernah terhenti,” imbasnya.
Shamsul berkata, tidak mudah untuknya memujuk bekas isteri berbaik demi kebahagiaan anak-anak.
“Selepas bercerai hubungan kami penuh dengan dendam, rasa tersinggung, tidak puas hati dan ego.
“Setiap kali ada urusan berkaitan anak-anak kami hanya bermesej ringkas. Bekas isteri pula sering mengelak bertemu, takut timbul pergaduhan baru.
“Tetapi saya tidak pernah berputus untuk menghulurkan tangan berdamai dan menelan ego sendiri,” ujarnya.
Berkat kesabaran dan tindakan menyakinkan, akhirnya bekas isteri akur dan bersetuju untuk berbaik.
Bukan sebagai suami isteri kembali, tetapi sebagai ibu dan bapa yang mahu membesarkan anak-anak bersama.
Kematangan mereka membuatkan anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang .
“Alhamdulilah anak-anak juga faham, walaupun kami tidak tinggal sebumbung, mereka berasa selamat dan disayangi,” ujarnya.
Menurut Shamsul, pertengahan Oktober bulan depan genap usia lima tahun mereka berpisah.
Sepanjang tempoh itu, dia dan bekas isteri cuba memberi yang terbaik buat anak-anak.
Antara usaha yang dilakukan bagi memastikan anak-anak tidak terkesan dengan perpisahan itu ialah, setiap tahun beraya bersama di kampung mengikut giliran.
Walaupun agak janggal pada awalnya, lama-kelamaan hubungan mereka lebih tenang dan lancar.
“Keluarga menasihati kami berkahwin kembali demi anak-anak, tetapi kami menolak secara baik.
“Bukan kerana benci, cuma belum bersedia dan terbuka untuk hidup semula sebagai suami isteri,” ujarnya.
Kata Shamsul, untuk apa mereka mengulang cerita lama yang menyakitkan kerana fokus utama mereka adalah membesarkan anak-anak.
Apa yang mereka lakukan, demi kesejahteraan emosi anak-anak dan bagi memastikan mereka tidak berasa terasing dan kehilangan kasih sayang mana-mana pihak.
Kisah Shamsul membuktikan masih ada lelaki matang yang memilih untuk menelan ego, menghormati dan bekerjasama dengan bekas isteri.
Malah, dia berjanji pada diri untuk tidak membiarkan anak-anak sendirian tanpa seorang bapa.
“Saya masih bapa kepada anak-anak. Saya tidak mahu mereka menjadi mangsa ego kami,” ujarnya.
Walaupun bukan lagi suami, tanggungjawabnya sebagai bapa tetap sama.
Dia tidak pernah culas dalam menunaikan tanggungjawab kepada anak-anak melalui bekas isteri.
Tambahnya, walau apa pun keadaan hubungan mereka, kebajikan dan keperluan anak-anak tetap menjadi keutamaan.
Sambung Shamsul lagi, walaupun dia tidak mampu menjadi suami sempurna kepada Ariana, tetapi dia mahu menjadi bapa terbaik untuk anak-anak.
Kisah Shamsul memberi pengajaran yang perceraian bukan bererti kegagalan tetapi ruang untuk kedua-dua pihak membina kebahagiaan dengan cara masing-masing.
Walaupun tidak lagi bersama sebagai suami isteri, Shamsul dan Ariana tetap bekerjasama serta berlapang dada demi anak-anak.
Tanggungjawab seorang bapa terhadap anak adalah kewajipan yang ditetapkan oleh Islam, selagi mana anak itu hidup dan memerlukan penjagaan, kasih sayang serta nafkah yang mencukupi.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan kewajipan bapa pula adalah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang sepatutnya.” (Al-Baqarah:233)











