LOS ANGELES: Starbucks akan mengurangkan sekitar 900 jawatan bukan runcit dan menutup lebih kurang 200 cawangan di Amerika Utara sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat, menurut kenyataan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Brian Niccol, lapor Xinhua.
Menurut Niccol, jumlah keseluruhan kedai Starbucks di Amerika Utara dijangka menurun kira-kira satu peratus pada tahun fiskal 2025.
Starbucks dijangka menamatkan tahun fiskal dengan hampir 18,300 cawangan di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain itu, Starbucks juga merancang untuk menaik taraf lebih 1,000 cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi memperbaiki reka bentuk dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Niccol menjelaskan ekerja yang terjejas akibat penstrukturan ini akan menerima pampasan pemberhentian kerja serta pakej sokongan termasuk lanjutan faedah.
“Tindakan ini diambil untuk memperkukuh aspek yang telah terbukti berkesan dan memberi tumpuan kepada sumber kami pada perkara tersebut,” tulis Niccol.
Beliau berkata, pada tahun fiskal 2026, Starbucks akan meningkatkan bilangan kedai kopi yang dikendalikan sambil terus membuat pelaburan dalam perniagaan.










