GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Gaza kini menjadi wilayah dengan jumlah kanak-kanak diamputasi per kapita tertinggi di dunia sejak tercetusnya perang Israel pada Oktober 2023.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, sehingga kini dianggarkan lebih 4,000 kes amputasi dilaporkan di wilayah berkenaan.
“Beban yang ditanggung bukan sekadar kecederaan fizikal dan kebuluran, tetapi kesannya terhadap emosi kanak-kanak juga amat mendalam.
“Mereka berdepan keresahan, mimpi buruk, ketakutan dan ada yang terpaksa mengemis, mencuri atau bekerja pada usia kecil. Zaman kanak-kanak mereka telah hilang,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Menurut beliau, semakin lama konflik berlanjutan, semakin parah trauma yang bakal menghantui generasi kanak-kanak Palestin.
Sehubungan itu, Lazzarini menggesa gencatan senjata segera sekurang-kurangnya demi menyelamatkan kanak-kanak.
Laporan terbaharu penyiasat PBB sebelum ini turut menyimpulkan Israel melakukan jenayah genosid di Gaza, yang sudah meragut lebih 65,400 nyawa sejak serangan besar-besaran dilancarkan pada 7 Oktober 2023. – AGENSI










