Trump balas dendam, bekas Pengarah FBI jadi sasaran - Utusan Malaysia

Trump balas dendam, bekas Pengarah FBI jadi sasaran

JAMES COMEY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam mendakwa bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey bagi tuduhan jenayah melibatkan kenyataan palsu dan menghalang siasatan, sekali gus memperlihatkan peningkatan usaha Presiden Donald Trump untuk mengambil tindakan balas terhadap individu yang pernah menyiasat atau mengkritiknya.

Jika disabitkan kesalahan, Comey berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Comey dipecat Trump pada 2017 ketika awal penggal pertama beliau sebagai Presiden dan sejak itu, beliau sering mengecam cara pengendalian siasatan FBI berhubung kaitan antara kempen pilihan raya 2016 dan Russia.

Selepas didakwa, Comey menegaskan dirinya tidak bersalah serta masih mempercayai sistem kehakiman Amerika.

“Hati saya remuk untuk Jabatan Kehakiman, namun saya yakin dengan sistem perundangan persekutuan. Saya tidak bersalah, jadi biarlah perbicaraan berjalan dan kita terus percaya pada kebenaran,” katanya menerusi rakaman video di Instagram.

Comey dijangka menyerah diri pada pagi Jumaat, menurut laporan CNN.

Sejak kembali ke tampuk kuasa Januari lalu, Trump mengarahkan Jabatan Kehakiman untuk meneliti semula keterangan Comey pada 2020 di hadapan Jawatankuasa Kehakiman Senat berhubung kritikan Republikan terhadap siasatan Russia, selain penafian beliau mengarahkan pendedahan maklumat sensitif kepada media.

Pendakwaan itu dianggap sebagai bukti paling ketara dalam penggunaan kuasa undang-undang pentadbiran Trump terhadap pengkritik utama selepas beliau berikrar mahu melakukan tindak balas sepanjang kempen pilihan raya 2024.

Hubungan dingin antara Trump dan Comey bermula sejak awal pentadbiran pada 2017 apabila Trump memecat beliau beberapa hari selepas secara terbuka mengesahkan Presiden sedang disiasat berhubung kaitan dengan Russia.

Pemecatan itu membawa kepada pelantikan bekas Ketua FBI lain, Robert Mueller sebagai pendakwa khas mengendalikan siasatan yang mendedahkan banyak hubungan antara pasukan kempen Trump dengan pegawai Russia.

Bagaimanapun, Mueller mendapati bukti tidak mencukupi untuk mensabitkan konspirasi jenayah terhadap Trump.

Trump terus menuduh siasatan tersebut sebagai “pemburuan ahli sihir” dan pentadbiran keduanya berusaha menolak kesimpulan agensi perisikan serta penguatkuasaan undang-undang AS mengenai campur tangan Russia dalam pilihan raya 2016.

Siasatan dalaman Jabatan Kehakiman pada 2019 mendapati banyak kesilapan prosedur dalam siasatan berkenaan, namun tiada bukti berat sebelah politik.

Laporan sama turut mengkritik tindakan Comey yang meminta rakannya menyerahkan nota peribadi interaksinya dengan Trump kepada The New York Times.

Walaupun isu itu timbul pada penggal pertama Trump, namun Jabatan Kehakiman ketika itu menolak untuk mendakwa Comey. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×