Penduduk harap kampung tinggal ‘dihidupkan’ kembali

Penduduk harap kampung tinggal ‘dihidupkan’ kembali

MOHD. Zaharin Ahmad menunjukkan laluan masuk ke Kampung Miku Lama, Rembau-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Di sebalik lokasi Kampung Miku Lama di sini yang sering kali dijejaki individu yang berminat dengan aktiviti paranormal, ia sebenarnya mempunyai kisah sejarah tersendiri.

Terletak kira-kira 11 kilo­meter dari pekan Rembau, kampung berkenaan pernah dihuni berpuluh-puluh keluarga serta merupakan antara perkampungan yang gah sejak diterokai kira-kira 300 tahun lalu.

Menurut generasi ketiga kampung berkenaan, Mohd. Zaharin Ahmad, 69, mengikut cerita yang dikongsikan ibunya, arwah Kesah Sitam yang me­ninggal dunia pada penghujung tahun 1990-an, perkampungan itu pernah dikosongkan semasa zaman darurat.

“Ada berpuluh-puluh buah rumah malah ada sebuah rumah besar yang mempunyai 12 tiang. Namun penduduk terpaksa ke­luar dari kampung ketika darurat.

“Selepas darurat tamat, penduduk pulang kembali ke kampung ini termasuklah keluarga saya. Saya sendiri menetap di sini sejak awal tahun 1960-an hingga 1990-an sebelum berpindah ke Miku Pindah.

“Laluan kampung ini merupakan jalan mati, ramai penduduk selesa memilih tinggal di tempat lain. Jadinya, di sini, hanya terdapat tiga binaan rumah yang masih ada. Rumah pusaka ibu saya yang diwarisi dari nenek sudah pun ranap, sudah bersemak yang tinggal hanya pintu pagar,” katanya.

Ujar Mohd. Zaharin, dia kini masih menjadi Imam 3 Masjid Kariah Miku Lama walaupun masjid itu sudah pun tiada.

“Segala aktiviti masjid kini menumpang di sebuah perkampungan Orang Asli Kampung Pabai. Walaupun sudah lama, ada juga harapan kami untuk melihat Kampung Miku Lama ini dihidupkan kembali,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Ramli Joned, 75, beliau ba­nyak mendengar kisah beberapa kumpulan untuk menjejaki alam mistik di perkampungan berkenaan.

“Memang benar, kumpulan ini sanggup ke hujung kampung sekitar kira-kira dua kilometer untuk melihat rumah banglo yang sudah ditinggalkan namun masih mempunyai pemilik dan juga makam individu dipercayai yang meneroka kampung tersebut.

“Malah, tidak kurang juga mereka kata ada yang nampak kelibat wanita tua dengan rambut bersanggul di sekitar kampung ditinggalkan berkenaan dan di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, bagi penduduk, kampung berkenaan tetap me­rupakan kampung yang istimewa dan berharap kawasan sekitar laluannya boleh dihidupkan kembali termasuk membuka jalan keluar ke Kampung Chengkau melalui kampung itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×