Malaysia mampu dorong negara lain iktiraf Palestin

Malaysia mampu dorong negara lain bersama antarabangsa iktiraf Palestin

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia diyakini mampu menggunakan status antarabangsanya sebagai Pe­ngerusi ASEAN bagi menggalakkan negara lain yang masih belum mengiktiraf Palestin agar bersama sokongan antarabangsa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pihaknya amat menghargai sokongan teguh dan konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang disifatkan sebagai berprinsip dan tidak pernah goyah sejak dahulu.

Katanya, Palestin tidak meminta lebih daripada apa yang Malaysia sudah sumbangkan. 

“Namun dengan Malaysia sebagai ketua ASEAN, peluang itu boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh lagi solidariti antarabangsa terhadap Palestin.

“Kami berharap Malaysia dapat menggerakkan usaha diplomasi agar empat negara yang belum mengiktiraf Palestin iaitu Singapura, Myanmar, Jepun dan Korea Selatan dapat menyertai arus perdana global,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut Walid, sebanyak 160 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mewakili kira-kira 80 peratus komuniti antarabangsa telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

“Gelombang pengiktirafan baharu tahun ini termasuk United Kingdom, Kanada, Australia, Portugal, Perancis, Belgium, Luxembourg, Monaco, Malta, Andorra, San Marino dan Denmark. 

“Ini adalah kemenangan diplomasi yang jelas bagi Palestin meskipun tekanan ketenteraan rejim Israel masih berterusan,” katanya. 

Katanya, pengiktirafan berkenaan hadir dalam keadaan dunia menyaksikan penderitaan berterusan rakyat Palestin di Gaza akibat peperangan genosid, namun pada masa sama membuktikan perubahan besar dalam sentimen global.

Beliau berkata, pengiktirafan Palestin adalah elemen penting bagi menjayakan penyelesaian dua negara, sekali gus menjamin keamanan dan kestabilan jangka panjang di Timur Tengah.

“Jika lebih banyak negara menyokong dan mengiktiraf Palestin, ini akan membuka jalan ke arah penyelesaian konflik yang adil dan menyeluruh, bukan sahaja untuk rakyat Palestin tetapi juga seluruh rantau,” katanya

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat oleh beberapa kuasa besar dunia dilihat sebagai titik permulaan penting mengumpulkan tekanan antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara.

Katanya, walaupun pengiktirafan itu tidak menjadikan Palestin anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia tetap memberi kekuatan perundangan besar untuk menyuarakan hak mereka dalam organisasi dunia tersebut.

“Kalau kita lihat, Amerika Syarikat sahaja yang kini kelihatan bersendirian menyokong Israel. Harapan kita ialah supaya negara-negara G7 lain seperti Jepun, Itali dan Jerman yang setakat ini belum mengiktiraf Palestin turut serta memberikan pengiktirafan.

“Simbolik pengiktirafan ini sangat penting kerana ia menambah tekanan kepada usaha merealisasikan penyelesaian dua negara. Walaupun Palestin belum menjadi ahli penuh PBB, kedudukan mereka kini lebih kukuh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN