Warga China didenda RM5,000 hantar ugutan bom palsu

Warga China didenda RM5,000 hantar ugutan bom palsu

LIU Jinqi (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini bagi berdepan pertuduhan menghantar mesej ugutan bom palsu kepada sebuah syarikat penerbangan, minggu lalu.-UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang wanita warganegara China didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar mesej ugutan bom palsu kepada sebuah syarikat penerbangan, minggu lalu.

Tertuduh, Liu Jinqi, 28, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret, Dayang Aidaku Amira Aminuddin sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, Liu didapati telah menghantar ugutan jenayah terhadap syarikat penerbangan AirAsia melalui aplikasi layan diri ‘Ask Bo’ dengan mesej ‘human service emergency bomb dangerous’  kira-kira pukul 11.55 pagi 20 September lalu.

Mesej itu kemudian dibaca seorang kakitangan syarikat penerbangan itu di kediamannya dekat sini, sebelum laporan polis dibuat pada 22 September.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Chen Wen Jye dalam rayuan mitigasinya memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya tiada niat untuk menakutkan orang ramai.

Ia sebaliknya hanya mahu mendapatkan perhatian syarikat penerbangan selepas gagal menukar tempat duduk walaupun sudah mencubanya melalui laman web, e-mel serta kaunter.

“Anak guam saya hanya ingin menukar tempat duduk selepas cuba menghubungi pihak AirAsia namun tiada respon. Disebabkan itu tindakan  menggunakan perkataan ‘bom’ adalah bertujuan supaya mesej saya diberi perhatian segera,” katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun menegaskan kesalahan dilakukan tertuduh adalah amat serius  dan boleh mendatangkan panik serta kegusaran awam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri warga China berusia 28 dan 29 tahun di sebuah hotel di Semporna pada pukul 8 malam pada hari kejadian. 

Siasatan mendapati salah seorang daripada mereka mengaku menghantar mesej ugutan bom palsu itu kerana mahu segera menukar tempat duduk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing, China. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×