Perdagangan Digital MADANI catat penyertaan hampir 4,000 syarikat tempatan - Utusan Malaysia

Perdagangan Digital MADANI catat penyertaan hampir 4,000 syarikat tempatan

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (tujuh dari kanan) pada majlis pelancaran MDT pada Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) merekodkan penyertaan hampir 4,000 syarikat tempatan dalam usaha memacu transformasi perdagangan rentas sempadan negara sejak dilancarkan Mac lalu.

Platform berasaskan teknologi data raya, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan itu dilihat sebagai pemangkin baharu kepada fasilitasi eksport, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, platform MDT memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya saing Malaysia di pasaran global. 

“MDT akan menjadi pemangkin utama dalam pendigitalan perdagangan, pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pengintegrasian yang lebih baik dalam rantaian bekalan global.

“Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memperkasa perniagaan melalui inovasi dan keterhubungan digital.

“Pendigitalan juga membantu perniagaan meningkatkan kecekapan operasi, menembusi pasaran baharu dan membuka peluang dalam ekonomi digital serta perdagangan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2025 semalam. 

Sehingga kini, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 telah memanfaatkan MDT dengan mengoptimumkan sesi padanan perniagaan melibatkan 600 pengeksport halal tempatan bersama 300 pembeli antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, MDT akan menjadi pemangkin kepada fasilitasi perdagangan, dimana platform itu akan memperkemas proses eksport, mengurangkan kos, serta menggalakkan keterangkuman untuk PKS di peringkat antarabangsa.

“MDT memainkan peranan penting dalam memudahcara, memodenkan dan mendigitalisasikan proses perdagangan rentas sempadan supaya barangan dan perkhidmatan dapat bergerak dengan lebih pantas, kos efektif dan efisien. 

“Platform ini turut menyediakan akses kepada kemudahan perdagangan utama seperti pengisytiharan kastam bagi import, eksport serta transaksi e-Dagang, sekali gus meningkatkan pematuhan dan memperkemas operasi perdagangan,” katanya.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sebagai agensi utama akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta rakan ekosistem perdagangan negara melalui transformasi digital dalam bidang logistik, insurans dan kewangan. 

JKDM memainkan peranan penting dalam melancarkan proses perdagangan dengan mengintegrasikan penyelesaian digital dalam operasi kastam, mengurangkan ketidakcekapan dan menambah baik rangka kerja fasilitasi perdagangan secara keseluruhan. 

Sementara itu, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memupuk persekitaran perdagangan yang lebih telus, efisien dan berasaskan teknologi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×