Kekalkan adat, tradisi warisan turun-temurun

Kekalkan adat, tradisi warisan turun-temurun

NILAI-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai aspirasi baharu. mengingatkan kita bahawa nilai-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai aspirasi baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Adat dan Tradisi Kampung Angkat Madani 2025 telah diadakan di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini.

Program ini menampilkan dua adat penting dalam sistem warisan Perpatih iaitu Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodin. Kedua-dua adat ini menjadi simbol amanah kepimpinan, penerimaan persaudaraan dan semangat muafakat.

Ia bukan sekadar ritual, tetapi mekanisme sosial yang menegaskan bahawa setiap anggota komuniti adalah sebahagian daripada keluarga besar yang saling bertanggungjawab menjaga maruah serta kesejahteraan bersama.

Keunikan warisan Perpatih di Negeri Sembilan terus diamalkan sebagai tradisi turun-temurun. Adat Berkodin menzahirkan penerimaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga suku dengan ikrar taat setia melalui upacara tertentu manakala Adat Menerang Buapak memperlihatkan peranan pemimpin suku sebagai penjaga adat, pembimbing dan pendamai masyarakat.

Lebih penting, kedua-dua adat ini telah disesuaikan dengan ajaran Islam, memastikan ia kekal serasi dengan tuntutan agama serta relevan dengan masa kini.

Nilai yang lahir daripada warisan ini iaitu persaudaraan, rasa hormat dan semangat kebersamaan bukan sahaja mencerminkan kekuatan masyarakat adat, malah selari dengan aspirasi Malaysia Madani. Kekuatan negara lahir daripada kepelbagaian budaya yang dirangkul dengan muafakat, seterusnya dilentur ke arah pencapaian matlamat kesejahteraan bersama.

Majlis seperti ini bukan sahaja memperingati warisan, tetapi juga mengingatkan kita bahawa nilai-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai aspirasi baharu. Kita berharap generasi muda hari ini tidak memandang adat hanya sebagai ritual semata-mata, tetapi juga sebagai panduan hidup yang membentuk disiplin, perpaduan, dan rasa cinta kepada tanah air.

Jelaslah bahawa adat dan tradisi kekal sebagai denyut nadi sebuah bangsa. Melalui penganjuran program ini, Negeri Sembilan juga bukan sahaja terus menonjol sebagai pusat khazanah Perpatih, tetapi juga menjadi cerminan semangat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian, teguh dalam muafakat. – UTUSAN

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×