China mahu kurangkan 10 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2035

China mahu kurangkan 10 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2035

XI JINPING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China merancang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak tujuh hingga 10 peratus menjelang 2035, sekali gus menetapkan sasaran baharu dalam usaha menangani perubahan iklim.

Perkara itu diumumkan Presiden China, Xi Jinping, semasa menyampaikan ucapan di sidang kemuncak iklim yang dipengerusikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres melalui ucapan video secara langsung dari Beijing.

Dalam ucapannya, Jinping menggariskan rancangan China bagi meningkatkan kapasiti tenaga angin dan solar kepada lebih enam kali ganda berbanding tahun 2020 dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, perkongsian bahan api bukan fosil dalam penggunaan tenaga domestik akan ditingkatkan melebihi 30 peratus menjelang 2035, manakala kenderaan bebas pencemaran akan dijadikan arus perdana.

“Kami akan membina sebuah masyarakat yang benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” katanya.

China kini menyumbang lebih 31 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida global.

Pada masa yang sama, beliau menyeru negara-negara maju di dunia untuk menerajui usaha mengurangkan pelepasan karbon dan tindakan iklim yang lebih kukuh.

Beliau merujuk, walaupun tidak secara langsung, kepada Amerika Syarikat kerana menjauhkan diri daripada matlamat Perjanjian Paris mengenai iklim.

“Transformasi hijau dan rendah karbon adalah arus zaman ini. Walaupun ada negara yang menentang arus, masyarakat antarabangsa mesti kekal di landasan yang betul, yakin tanpa goyah dan bertindak tanpa henti,” tegasnya.

Sehari sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump menggunakan pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk menyifatkan isu perubahan iklim sebagai penipuan besar dan mengkritik negara Eropah serta China kerana menggalakkan tenaga boleh diperbaharui.

Trump juga mengumumkan pengunduran kedua AS daripada Perjanjian Paris, yang bertujuan mengehadkan peningkatan suhu global tidak melebihi 1.5 darjah Celsius.

AS merupakan penyumbang sejarah terbesar pelepasan gas rumah hijau dunia, manakala ketika ini berada di tangga kedua selepas China. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×