PETALING JAYA: ASEAN kini berada pada kedudukan ekonomi kelima terbesar dunia dan diyakini mampu melonjak menjadi blok keempat terbesar menjelang 2030.
Ini berikutan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta perjanjian perdagangan yang dipertingkatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pasif, sebaliknya perlu tampil sebagai peneraju dengan memperkukuh rantaian bekalan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, melabur dalam kelestarian serta merangkul inovasi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menekankan bahawa tonggak ekonomi kekal sebagai matlamat utama kita, memacu komuniti serantau yang bersepadu, berdaya saing dan berdaya tahan sejak penubuhan AEC pada 2015.
“ASEAN bukan sekadar sebuah rantau, tetapi sebuah janji tentang potensi tanpa batas yang mesti kita buka bersama demi kesejahteraan rakyat, kerjasama rakan serantau dan masa depan generasi mendatang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, kepengerusian Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN bulan hadapan juga bakal menjadi langkah bersejarah yang akan memperkukuh kesepaduan rantau ini dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi.
Katanya, Malaysia kekal komited terhadap pertumbuhan inklusif yang memberi manfaat kepada semua negara anggota selain menghargai sumbangan rakan dialog.
“Malaysia komited memastikan pertumbuhan inklusif yang tidak meninggalkan mana-mana negara anggota, menghargai peranan rakan dialog dan menyambut keanggotaan Timor-Leste yang bakal memperkukuh perpaduan rantau,” katanya. – UTUSAN










