Pesara JPJ rasuah rakan sekerja dipenjara 10 bulan, denda RM60,000 - Utusan Malaysia

Pesara JPJ rasuah rakan sekerja dipenjara 10 bulan, denda RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipenjara 10 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memberi rasuah berjumlah RM3,600 kepada rakan sekerja sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap lori lebih muatan, tujuh tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Rafi Abd. Rahman, 61, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Elesabet dalam penghakimannya berkata, pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang terpakai bagi pertuduhan di bawah Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Justeru, tertuduh disabitkan bersalah atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 16 (b) B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Rafi didakwa memberikan rasuah berjumlah RM3,600 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Kesalahan itu dilakukan dalam enam perjumpaan berasingan di JPJ Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Julai hingga 31 Disember 2018.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat, selain mengambil kira jawatan tertuduh ketika melakukan kesalahan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri, tidak bekerja dan wang pencennya telah disekat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun, Azrul merayu hukuman tertuduh ditangguhkan kerana mahu memfailkan notis rayuan hari ini tetapi dibantah pendakwaan.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dengan mengekalkan jaminan RM12,000 sebelum ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×