SEREMBAN: Perbicaraan pengasuh Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa Yuseri berhubung pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi diteruskan selepas pendakwaan menolak representasi kedua dikemukakan tertuduh.
Penolong Pengarah Pendakwaan Negeri, Ku Hayati Ku Haron berkata, pihaknya tidak dapat menerima permohonan representasi tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 40, terhadap pertuduhan tersebut.
Pendakwaan kemudian memohon tarikh perbicaraan baharu dan memaklumkan kepada mahkamah seramai lapan hingga 10 orang saksi dijangka dipanggil memberi keterangan bagi kes tersebut
Hakim N. Kanageswari kemudian menetapkan 2, 9 dan 10 Mac tahun depan untuk tarikh baharu perbicaraan dan meminta pihak pendakwaan memastikan kehadiran semua saksi terlibat.
Peguam, S. Kavittha mewakili Khairunnisa tiada bantahan berhubung perkara tersebut.
Turut hadir peguam pemerhati bagi keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas dan ibu kanak-kanak tersebut Anida Idrus, 42.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan bernama Nour Rania Asyifaa berusia 15 bulan telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dan membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner pada 31 Julai 2024 memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan disebabkan tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN










