Lupa, buta teknologi alasan tidak perbaharui lesen pandu

Lupa, buta teknologi alasan tidak perbaharui lesen memandu

SUASANA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang lengang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terlupa, sikap sambil lewa dan buta teknologi antara punca segelintir pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) tidak memperbaharui lesen memandu mereka yang telah tamat sehingga melebihi tiga tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesara, Haliza Yahya, 68, mengaku terlupa dan tidak memberi perhatian terhadap tempoh tamat lesen memandu memandangkan dia kurang memandu sendiri selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, walaupun pelbagai pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan dalam talian dan aplikasi mudah alih disediakan kerajaan, namun dia kurang faham untuk melakukan pembaharuan secara digital dan enggan menyusahkan anak-anak.

“Bila sudah tidak kerap memandu, perbaharui lesen bukan satu keutamaan kerana saya sendiri tidak periksa bila tempoh tamat.

“Apabila sudah tua, ia agak terbatas untuk perbaharui ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau buat secara online kerana saya kurang pandai mahu gunakan aplikasi disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi pekerja swasta, Nurul Hamzah, 35, berkata, melanjutkan pengajian di luar negara selama lima tahun sebelum ini menyebabkan dia terlupa untuk memperbaharui lesen walaupun telah tamat sejak lebih tiga tahun.

Dia turut menganggap urusan memperbaharui lesen tidak begitu mendesak kerana hanya pulang ke tanah air selama beberapa kali semasa menuntut di United Kingdom.

“Saya pernah tidak sedar lesen saya tamat selama lima tahun kerana tidak memandu semasa menuntut di Liverpool, United Kingdom dan semasa pulang bercuti. Hanya mengetahui lesen telah tamat apabila ditahan di sekatan jalan.

“Akibat itu, saya terpaksa mengambil lesen semula dan ia agak leceh tetapi apakan daya semuanya disebabkan sikap sambal lewa saya,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata, pihaknya mengesan 2.3 pemegang lesen CDL berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat melebihi tiga tahun.

Pihaknya mengingatkan pemegang lesen memandu yang tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu (IM) berdekatan.

“Keperluan ini adalah bagi mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu. Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka,” katanya.

Katanya bagaimanapun, sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuat kuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN