PETALING JAYA: Polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang melakukan kekerasan fizikal dengan alasan gurauan melampau terhadap seorang rakan mereka.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan sedemikian jelas merupakan perbuatan buli yang tidak boleh dikompromikan apatah lagi didiamkan atas alasan gurauan.
“Apakah kita mahu menunggu sehingga berlaku kecederaan kekal atau kematian baru hendak bertindak?
“Saya harap pihak polis segera mengambil tindakan tegas, manakala semua pelaku juga wajib didakwa bagi menjadi pengajaran kepada semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi sebuah video yang memaparkan lima pelajar sekolah bertindak memegang kaki dan tangan seorang pelajar lain sebelum menghayunkan tubuh mangsa hingga bahagian kelangkangnya terhentak pada tiang papan tanda.
Video berkenaan dipercayai merujuk kepada insiden buli melibatkan pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri, Sarawak.
Lebih mengejutkan, beberapa pelajar lain yang berada di lokasi kejadian hanya ketawa dan menjadi penonton tanpa berusaha menghalang perbuatan itu.
Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap pelajar terbabit termasuk penggantungan atau buang sekolah. – UTUSAN











