PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia berhak mencabar keabsahan undang-undang sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, dari segi pentadbiran, semua rang undang-undang (RUU) digubal Jabatan Peguam Negara (AGC) yang juga bertanggungjawab menasihatkan kerajaan sama ada sesuatu undang-undang dicadangkan itu bercanggah dengan Perlembagaan.
Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang merasakan diri tercabar atau terkesan boleh memfailkan permohonan di mahkamah kerana fleksibiliti terhadap isu locus standi (hak untuk membawa sesuatu kes ke mahkamah).
“Jika undang-undang yang dibuat itu bertentangan dengan Perlembagaan seperti melanggar hak-hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan, maka cabaran boleh dibuat untuk mendapat perisytiharan daripada mahkamah.
“Mana-mana orang yang terkesan dengan undang-undang itu boleh buat cabaran. Semua cabaran mesti dibuat di mahkamah. Mahkamah agak fleksibel dalam isu locus standi untuk membuat cabaran atas undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama panel dua lagi hakim pernah memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.
Dalam keputusan penting kepada hak asasi rakyat, Seksyen 9(5) PAA didapati bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).
Yaacob berkata undang-undang sedia ada juga akan kekal berkuat kuasa selagi ia tidak dicabar atau dipertikai oleh mana-mana pihak.
Katanya, mahkamah juga perlu memproses permohonan itu atas dasar mempunyai elemen yang melibatkan kepentingan awam.
“Selagi tiada cabaran terhadap keabsahan undang-undang tersebut dan selagi tidak dibatalkan atau ditangguhkan kuat kuasanya, maka undang-undang sedia ada adalah kekal berkuat kuasa.
“Permohonan cabaran perlu dibuat di mahkamah untuk mendapatkan perintah mengisytiharkan undang-undang itu tidak sah. Dengan adanya perisytiharan itu, maka undang-undang itu terhenti daripada boleh dikuatkuasakan,” katanya. – UTUSAN










