PETALING JAYA : Satu garis panduan pengurusan peruntukan Mykiosk atau gerai perlu diwujudkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan untuk digunapakai oleh 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.
Langkah yang disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah disambut baik oleh Timbalan SUK (Pembangunan) Kelantan, Ahmad Adlee Yassin pada sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola kepada BKT, SUK Kelantan di sini, semalam.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff berkata, pembentangan ini tertumpu kepada isu Kelemahan Amalan, Sistem Dan Tatacara Kerja Berhubung Pengurusan Gerai Penjaja Mykiosk Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) oleh BKT SUK Kelantan.
Katanya, sebanyak 11 syor penambahbaikan dibentangkan termasuk berkaitan penentuan lokasi yang tepat dengan membuat kajian terperinci dan memastikan corak penyusunan setiap unit Mykiosk diletak serta disusun sebaiknya bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan lancar.
“Tindakan penguatkuasaan oleh PBT juga perlu diselaraskan agar setiap penyewa Mykiosk tidak melanggar syarat perjanjian sewaan yang telah dipersetujui supaya kemudahan disediakan oleh KPKT ini mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan ekonomi peniaga-peniaga kecil.
“Tindakan ini, akhirnya kelak diharapkan dapat membantu meningkatkan kadar kutipan sewaan yang turut menambah hasil PBT di Kelantan,” katanya.
Isu Mykiosk ini timbul berpunca daripada rungutan penjaja awam di Pantai Geting, Tumpat Kelantan, sehingga menjadi tular di platform media sosial.
Sementara itu, Ahmad Adlee berkata, pihaknya menyambut baik kesemua 11 syor yang dibentangkan dan memberikan komitmen untuk terus memastikan BKT SUK Kelantan sentiasa memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Beliau berkata, SOP itu berkaitan setiap gerak kerja membabitkan 12 PBT di Kelantan ke arah mewujudkan pengurusan tatakelola baik yang menutup ruang risiko berlakunya isu rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.-UTUSAN











