JASIN: Program seni khat mampu melahirkan generasi tahfiz yang bukan sahaja mahir menghafaz al-Quran, malah memiliki kemahiran seni bernilai tinggi serta berjiwa halus.
Seramai 20 pelajar Maahad Tahfiz diberi pendedahan menerusi Program Pembangunan Kemahiran Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti-Program Kemahiran Tambahan Pelajar (PKTP) 2025: Produk Seni Kaligrafi Khat yang berlangsung di Kolej Komuniti Jasin.
Program dua fasa pada 27 dan 28 Ogos serta 11 dan 12 September lalu mengajar asas kaligrafi Arab termasuk Khat Nasakh, Diwani dan Thuluth kepada pelajar berusia 12 hingga 20 tahun.
Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, seni khat bukan sahaja memperindah tulisan tetapi mendidik jiwa pelajar tahfiz agar lebih teliti, sabar dan fokus.
“Anak-anak tahfiz ini kita latih bukan sekadar menulis huruf Arab dengan indah, tetapi mendidik jiwa agar teliti, sabar dan fokus. Seni khat adalah warisan Islam yang harus terus hidup, dan kini ia dipelajari oleh generasi muda yang menghafaz kalam Allah.
“Kita mahu mereka bukan sahaja menjaga hafazan tetapi menguasai seni yang mampu memberi nilai tambah kepada diri dan masyarakat malah membuka peluang keusahawanan serta menjana rezeki halal,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program PSH Komuniti-PKTP 2025: Produk Seni Kaligrafi Khat yang berlangsung di Kolej Komuniti Jasin di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah KKJS, Mohamad Kelana Juwit pula menegaskan, kolaborasi pihaknya dengan DMDI berjaya menjadikan seni khat sebagai satu wadah pembelajaran kreatif yang menyatukan pendidikan agama dan kemahiran moden.
“Seni khat ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik penulisan yang betul, estetika seni Islam, dan dalam masa sama menggalakkan mereka berinovasi untuk menghasilkan karya moden yang bernilai komersial.
“Dengan asas ini, mereka boleh mengembangkan kerjaya sebagai penulis khat profesional, pereka seni Islam atau usahawan produk kreatif berasaskan khat,” ujarnya.
Pada majlis itu, para peserta turut memperlihatkan hasil tulisan kaligrafi masing-masing yang dihasilkan sepanjang kursus bagi menzahirkan bakat dan kreativiti mereka dalam seni penulisan khat.-UTUSAN.










