ASEAN perlu kurangkan kebergantungan pada FDI

ASEAN perlu kurangkan kebergantungan pada FDI

LIEW Chin Tong (kanan) bersama Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak (kiri) dalam majlis Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC) di St Regis, Kuala Lumpur, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan mula membangunkan syarikat multinasional bertunjangkan teknologi sendiri, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata, sejak sekian lama rantau ini terlalu bergantung kepada modal dan teknologi asing dalam sektor pembuatan, sedangkan masa depan yang lebih mampan menuntut ASEAN melabur dalam syarikat sendiri.

“Selama ini ASEAN melihat pelaburan berasaskan FDI sebagai model utama. Teknologi pula sering dianggap sebagai sesuatu yang diimport bersama modal luar. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, inilah masanya kita membayangkan masa depan ASEAN dengan melahirkan syarikat multinasional bertunjangkan teknologi sendiri,” katanya ketika melancarkan Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC), di sini.

Beliau turut menggesa pelabur serantau, dana dan institusi kewangan supaya menyalurkan lebih banyak modal ke dalam syarikat pemula niaga (startup) dan syarikat teknologi ASEAN, khususnya dalam bidang peralihan hijau, tenaga boleh diperbaharui, kesihatan dan penyelesaian bagi masyarakat menua.

Beliau menekankan, pelaburan swasta perlu seiring dengan kepentingan awam seperti pembangunan grid kuasa ASEAN untuk memastikan pertumbuhan saksama di semua negara anggota.

“Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, saya berharap kita dapat menyaksikan kemunculan juara teknologi ASEAN, sama ada setaraf mini-Huawei, mini-Samsung atau versi ASEAN bagi Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC). 

“Bukan meniru apa yang mereka lakukan sekarang, sebaliknya meneroka apa yang bakal menjadi tumpuan gergasi teknologi global menjelang 2045,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan perlunya mengubah persepsi bahawa ASEAN hanya sekadar hab pengeluaran untuk syarikat asing. 

“Kita perlu usaha lebih giat menghubungkan pembiayaan, teknologi, dasar perindustrian dan pasaran bagi melahirkan syarikat juara serantau.

“Potensi itu ada, cuma perlu kita satukan titik-titiknya. Jika lebih banyak pelaburan mengalir kepada teknologi ASEAN, kita akhirnya akan menyaksikan syarikat tempatan muncul sebagai multinasional serantau, malah mungkin global,” katanya.

Tambahnya, dalam suasana globalisasi yang semakin berganjak ke arah serantau, pengukuhan ekosistem ASEAN adalah kunci daya tahan ekonomi masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini