Kombinasi Harajuku, migrasi Sabah

Kombinasi Harajuku, migrasi Sabah

Koleksi Legacy Unbound sentuhan Aisya Myra Aznan (tengah) yang diinspirasikan daripada karya lukisan The Black Parade oleh Rosmaini Sunarjo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap rekaan dalam koleksi ini sengaja direka berbeza antara satu sama lain, iaitu tanpa siluet, struktur mahupun penempatan cetakan sama.

Matlamat utama pereka muda, Aisya Myra Aznan untuk mencerminkan pengalaman migrasi serta identiti yang sentiasa berubah dan berpecah-pecah, seperti karya lukisan The Black Parade oleh Rosmaini Sunarjo.

Katanya, karya itu bukan sahaja menarik secara visual, malah turut menyentuh isu-isu sosial dan politik kontemporari di Sabah.

Penemuan itu lantas mendorongnya mengolah koleksi Legacy Unbound sebagai satu bentuk aktivisme fesyen bagi menyuarakan naratif sama.

Daripada lapisan-lapisan besar hingga ke potongan yang tajam dan terperinci, setiap pakaian membawa suara tersendiri.

Namun, ia masih berpegang kepada bahasa visual yang selari, dengan berteraskan nilai maksimalisme.

Katanya, koleksi ini meraikan kekacauan yang jelas menerusi penggunaan denim celup peluntur, cetakan gaya grafiti, motif berunsur desa, bahagian tepi yang terbiar terurai dan corak bertembung.

“Legacy Unbound berkonsepkan avant-garde dan menggabungkan gaya jalanan Harajuku dengan naratif tempatan Sabah yang mendalam bagi menterjemahkan tema migrasi, pemeliharaan budaya dan penentangan ke dalam bentuk seni yang boleh dipakai serta diekspresikan.

“Koleksi ini direka khas untuk golongan dewasa maksimalis dan individu yang berani mencabar norma,” katanya.

Keunikan rekaannya turut membolehkan graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini meraih tempat kedua dan Anugerah Perak semasa pertunjukan fesyen baru-baru ini.

Rawat denim dengan tepung

Salah satu teknik paling menonjol dalam koleksi ini ialah proses rawatan khas denim yang dihasilkannya melalui eksperimen.

Aisya Myra menggunakan 10 beg tepung bagi dijadikan pes pekat dan dilumur ke atas denim sepanjang enam meter.

Setelah kering dan mengeras, fabrik itu digulung dan dipecahkan secara manual disusuli menyembur peluntur ke atas permukaan, kemudian menyental dan menanggalkan lapisan tepung yang keras.

“Hasilnya ialah motif retakan semula jadi yang unik, bertekstur dan tidak boleh diulang, sekali gus menjadi simbol kepada janji-janji rosak dan masa depan terpecah seperti digambarkan dalam lukisan The Black Parade,” katanya.

Besar harapannya agar koleksi ini dapat menjadi inspirasi kepada pereka muda lain untuk terus meraikan imaginasi, keberanian dan keunikan dalam diri.

“Semoga ini menjadi langkah ke hadapan dalam merubah landskap fesyen agar lebih terbuka kepada para maksimalis, individu eklektik dan pencinta warna di luar sana,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×