BAHASA Melayu dan kemerdekaan negara merupakan perkara yang tidak boleh dipisahkan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ditulis dalam Perlembagaan yang mengangkat kedudukan bahasa itu sebagai bahasa rasmi di Malaysia.
Bahasa Melayu yang dahulunya sangat terkenal dalam kalangan pedagang sebelum era penjajahan digunakan dengan meluas dalam pentadbiran, perdagangan dan penyebaran agama Islam.
Semasa era penjajahan British pula, bahasa Melayu digunakan dalam pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Setelah itu, perjuangan kemerdekaan mula dikaitkan dengan bahasa Melayu sebagai identiti bangsa. Terutamanya, penulisan akhbar Melayu yang sangat meluas pada ketika itu untuk menyuarakan hak kebebasan negara.
Saat menuju kemerdekaan, bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan dan pelbagai dasar diperkenalkan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dan dimartabatkan.
Bahasa Melayu perlu diimbas kembali melalui lensa sejarah sebagai perkara yang penting dalam mewujudkan patrotisme dan tidak boleh menjadi seperti kacang lupakan kulit. Sehubungan itu, bahasa Melayu pada peringkat pendidikan tidak boleh terhenti di sekolah menengah, malah perlu diteruskan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Bahasa Melayu perlu terus dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPT supaya semua pelajar tanpa mengira belakang dapat meraikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Selain itu, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa komunikasi harian dan juga bahasa ilmu. Apabila penggunaan bahasa Melayu sangat mantap, maka semangat kesatuan melalui komunikasi akan menjadi jitu.
Penggunaan bahasa Inggeris yang meluas menjadikan bahasa Melayu tenggelam di universiti tempatan. Begitu banyak longgokan penulisan ilmiah memilih bahasa asing sebagai bahasa utama dalam medium penulisan. Hal ini kerana, tekanan globalisasi dan pengiktirafan antarabangsa menyebabkan bahasa Melayu dipinggirkan.
Perkara yang menyayat hati apabila sikap segelintir pendidik dan pelajar yang lebih mengutamakan bahasa asing untuk berkomunikasi. Sekiranya, penggunaan bahasa Melayu semakin luntur, maka sikap patriotik akan menjadi semakin pudar.
Kebelakangan ini, begitu banyak usaha yang digiatkan pelbagai pihak untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang wajar dipuji. Dengan adanya subjek bahasa Melayu yang diajar pada peringkat IPT, maka bahasa itu dapat diperkenalkan dengan lebih meluas. Terutamanya, ia dapat dipromosikan kepada pelajar antarabangsa melalui pengenalan kepada budaya dan identiti Malaysia.
Pengajaran subjek bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa dapat memperluas penggunaannya sebagai bahasa ilmu dan perpaduan supaya mereka dapat berkomunikasi dengan komuniti tempatan. Perkara ini akan menjadikan bahasa Melayu sebagai medium penyebaran ilmu sedikit demi sedikit di serantau.
Apabila meneliti peranan bahasa Melayu di IPT, sewajarnya ia menjadi nilai patriotik dalam kalangan masyarakat. Bahasa Melayu yang digunakan dalam semua peringkat pendidikan dan wacana ilmiah menggambarkan corak pemikiran rakyat Malaysia. Hal ini dapat membina masyarakat yang celik ilmu melalui karya yang diterbitkan seperti seni dan sastera untuk mengekspresi pemikiran serta kritikan yang bertema patriotik.-UTUSAN
NOR ATHIRA MD. AMIN
Pusat Pengajian Bahasa,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










