Restoran mi segera pamerkan 23 ekor haiwan diarah tutup tujuh hari

Restoran mi segera pamerkan 23 ekor haiwan diarah tutup tujuh hari

SHADAN OTHMAN melakukan pemeriksaan ke atas restoran mi segera di Kampung Jawa, Melaka yang menempatkan 23 haiwan peliharaan sebelum diarahkan tutup selama tujuh hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah restoran mi segera di Kampung Jawa di sini yang tular kerana mempamerkan haiwan eksotik alpaka bersama kambing, itik, angsa, arnab dan kucing sebagai hiburan pelanggan diarah tutup selama tujuh hari serta dikenakan kompaun RM10,250 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, tindakan penutupan bermula hari ini hingga 28 September selepas pemeriksaan mendapati premis itu melanggar garis panduan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pemilik restoran turut dikenakan kompaun RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta RM250 kerana melanggar syarat Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.

“Kita keluarkan notis penutupan selama tujuh hari untuk kerja pembersihan dan mengeluarkan semua haiwan yang ditempatkan dalam restoran ini.

“Dalam lesen MBMB jelas dinyatakan haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan di dalam restoran. Walaupun alpaka dipamerkan secara berasingan, ia tetap dilarang,” katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan ke atas restoran terbabit hari ini.

Premis itu memperoleh lesen perniagaan makanan pada April lalu, namun pemilik mula membawa masuk 23 haiwan sejak Jun termasuk seekor alpaka, dua kambing, seekor itik, dua angsa, dua arnab dan 15 kucing.

Menurut Shadan, tindakan menjadikan restoran sebagai petting zoo adalah kes pertama dikesan di bandar raya ini dan ia boleh mengundang risiko terhadap kebersihan serta keselamatan makanan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu menggubal garis panduan khusus mengenai aktiviti melibatkan haiwan dalam premis makanan.

“Dari segi idea pelancongan, ia memang menarik terutama untuk kanak-kanak, namun perlu jelas haiwan berkenaan perlu disimpan di dalam bilik khas atau dilepaskan ke habitat selepas persembahan seperti di zoo,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×