GAZA CITY: Pengiktirafan rasmi terhadap Palestin oleh Britain, Kanada, Australia dan Poland mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Palestin dan Israel, dengan sebahagian besar penduduk Gaza menyambutnya sebagai sinar harapan, manakala Israel pula memberi amaran dan meluahkan kebimbangan terhadap implikasi politik serta keselamatan.
Bagi ramai penduduk Gaza, langkah ini dianggap sebagai satu pengesahan terhadap kewujudan dan hak mereka selepas hampir dua tahun konflik berterusan antara Israel dan Hamas.
“Pengiktirafan ini menunjukkan dunia akhirnya mula mendengar suara kami, dan itu sendiri adalah satu kemenangan moral.
“Walaupun kami berdepan kesakitan, kematian dan pembunuhan beramai-ramai, kami tetap berpaut pada apa sahaja yang mampu memberi sedikit harapan” kata Salwa Mansour, 35, seorang penduduk yang dipindahkan dari Rafah ke kawasan Al-Mawasi yang diisytiharkan sebagai zon kemanusiaan oleh tentera Israel.
Britain dan Kanada kini menjadi antara negara G7 pertama yang secara rasmi mengiktiraf Palestin dalam usaha mendesak Israel menamatkan operasi ketenteraan di Gaza. Australia turut mengumumkan pengiktirafan serentak.
Tentera Israel dalam operasi terbaharu mereka untuk menawan Gaza City melaporkan ebih 550,000 penduduk meninggalkan kawasan itu ke selatan.
Pada hari sama, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam serangan udara, menurut agensi pertahanan awam Gaza yang beroperasi di bawah Hamas.
Bagi sesetengah penduduk, seperti Mohammed Abu Khousa dari Deir el-Balah, perkembangan ini membangkitkan harapan baharu.
“Apabila negara seperti Britain dan Kanada mengiktiraf kami, ia sedikit demi sedikit menjejaskan legitimasi Israel dan memberi perjuangan kami sinar harapan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik berita ini. Mohammed Azzam, penduduk Ramallah di Tebing Barat yang diduduki Israel, menyuarakan rasa skeptikal
“Negara mengiktiraf kita, tetapi setiap hari serangan Israel makin meningkat, rampasan tanah dan sekatan jalan masih berlaku. Ia tidak mengubah realiti harian kami,” ujarnya.
Di Israel, sesetengah penduduk melihat pengiktirafan itu sebagai satu tindakan tergesa-gesa dan berisiko.
“Mereka hanya cuba mencari jalan untuk membunuh dan berperang dengan Israel,” kata Tamar Lomonosov, penduduk Beit Shemesh.
Seorang lagi penduduk, Muriel Amar, 62, warga Perancis-Israel, menyuarakan kebimbangan langkah negara Barat akan memberi isyarat salah:
“Selagi tebusan belum dibebaskan, saya tidak nampak bagaimana kita boleh anggap ini sebagai kemajuan. Ia hanya memberi pengesahan kepada kumpulan seperti Hamas bahawa mereka berada di pihak yang benar,” katanya.










