PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku semasa dijangka kekal positif sekitar empat hingga lima peratus, selaras dengan unjuran rasmi kerajaan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan awam dan swasta selain eksport yang mula menunjukkan tanda pemulihan walaupun persekitaran ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan.
Menurutnya, momentum itu memberi keyakinan sasaran pertumbuhan tahunan kerajaan kekal realistik untuk dicapai.
“Permintaan pengguna dalam negara kekal menjadi enjin penting kerana aktiviti perbelanjaan dan pelaburan berterusan, terutama selepas langkah rangsangan fiskal yang menyokong keyakinan pasaran.
“Eksport juga menunjukkan perkembangan positif apabila permintaan bagi produk bernilai tambah tinggi mula meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Idham berkata, sektor perkhidmatan akan terus menjadi pemacu utama dalam tempoh terdekat, dengan subsektor pelancongan, kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka merekodkan pertumbuhan lebih pantas.
Katanya, sektor itu mampu menampung kelembapan dalam segmen tradisional seperti elektrik dan elektronik yang masih dalam proses menstabilkan pengeluaran.
“Perkhidmatan bukan sahaja menyumbang kepada KDNK, malah membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang hospitaliti, teknologi dan khidmat kewangan.
“Pembuatan berorientasikan eksport bernilai tambah tinggi juga semakin penting kerana ia memacu inovasi dan memperkukuh daya saing negara,” jelasnya.
Mengulas faktor luaran, beliau berkata, kadar faedah global yang masih tinggi boleh menjejaskan aliran masuk modal ke pasaran membangun, sekali gus memberi tekanan terhadap ringgit.
Pada masa sama, harga komoditi dunia, khususnya minyak sawit mentah dan petroleum, turut mempengaruhi hasil eksport negara.
“Ketidaktentuan geopolitik pula boleh memberi kesan terhadap rantaian bekalan dan kestabilan harga, yang secara tidak langsung mempengaruhi keyakinan pelabur.
“Walau bagaimanapun, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan sokongan pelaburan langsung asing dan projek strategik kerajaan,” ujarnya.
Tambah beliau, cabaran utama ialah memastikan inflasi teras dan kos sara hidup kekal terkawal supaya kuasa beli rakyat tidak terjejas.
“Dasar fiskal berhemah perlu diteruskan bagi memastikan kedudukan kewangan negara sihat, manakala produktiviti serta transformasi digital perlu diperkasa supaya pertumbuhan ekonomi bukan sahaja berorientasikan jangka pendek, tetapi mapan untuk tempoh sederhana dan panjang,” tambahnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku semasa dijangka kekal sekitar 4.4 peratus, mengambil kira kekuatan ekonomi domestik dan pelaksanaan dasar yang konsisten oleh kerajaan.
“Walaupun ekonomi global masih tidak menentu, termasuk dasar ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang sukar dijangka di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump, Malaysia masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sekitar 4.4 peratus. Ini didorong oleh kestabilan asas ekonomi domestik serta langkah kerajaan memperkukuh keyakinan pelabur,” ujarnya.
Beliau berkata, sektor pembinaan dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK, didorong aktiviti hartanah yang rancak dengan permintaan tinggi.
“Pada masa sama, sektor perkhidmatan turut dijangka memainkan peranan besar, manakala kawalan inflasi negara di bawah paras 2.0 peratus memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi.
“Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dengan rakan dagang utama seperti China dan AS.
“Justeru, ketidaktentuan geopolitik serta tarif baharu yang dikenakan AS ke atas beberapa negara boleh memberi kesan kepada eksport, import dan kadar pertukaran ringgit,” katanya.
Menurut Faisol, kerajaan perlu memastikan rantaian ekonomi negara kekal lancar bagi menjamin pertumbuhan mapan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengganggu pasaran melalui penyorokan barangan, manipulasi harga atau penyalahgunaan subsidi.
“Golongan B40 dan M40 wajar terus menjadi fokus dasar supaya manfaat pertumbuhan dapat dirasai secara langsung oleh kumpulan ini.
“Dalam masa sama, usaha menambah baik kecekapan penguatkuasaan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial akan membantu memastikan kestabilan harga,” ujarnya. – UTUSAN










