CARACAS: Venezuela menganjurkan latihan ketenteraan untuk orang awam sebagai reaksi terhadap kehadiran kapal perang Amerika Syarikat (AS) di perairan Caribbean, selain berdepan ancaman terbaharu Presiden Donald Trump.
Hampir sebulan lalu, Washington menghantar kapal perang bersama jet pejuang F-35 yang ditempatkan di Puerto Rico dalam operasi yang didakwa memerangi penyeludupan dadah.
Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez menuduh AS melancarkan perang tidak diisytiharkan di Caribbean selepas serangan tentera AS mengorbankan sekurang-kurangnya 12 individu yang dituduh sebagai pengedar dadah di pesisir negaranya.
Caracas juga menegaskan Washington berusaha menukar rejim pemerintahan serta merampas sumber minyak dan hasil bumi Venezuela.
Di Petare, kawasan padat penduduk di Caracas, jalan utama ditutup sehari bagi memberi ruang kepada kursus mini yang merangkumi latihan mengendalikan senjata dan taktik rintangan revolusi.
“Saya datang untuk belajar mempertahankan tanah air saya, Venezuela. Saya tidak takut kepada sesiapa,” kata Luzbi Monterola, 38, seorang pekerja pejabat yang menyertai latihan tersebut.
Presiden Nicolas Maduro yang dituduh Washington terlibat dalam kartel dadah terus menggembleng rakyat di tengah ketegangan yang kian memuncak.
Selepas ribuan sukarelawan dipanggil ke kem tentera minggu lalu, Maduro mengarahkan anggota tentera turun ke kawasan kejiranan bagi melatih penduduk secara langsung namun, sambutan agak hambar apabila hanya kira-kira 25 kenderaan perisai dipamerkan di ibu negara dengan jumlah peserta terhad.
Di kawasan pesisir pula, kapal nelayan berlayar seiring dengan kapal tentera laut, seperti dipaparkan stesen televisyen rasmi negara itu.
Lopez menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu revolusi ketenteraan yang menggabungkan rakyat dan angkatan bersenjata.
Latihan juga turut dilanjutkan selama tiga hari di Pulau La Orchila sebagai tindak balas terhadap ancaman kehadiran tujuh kapal perang AS dan sebuah kapal selam nuklear di Caribbean. -AGENSI










