Ubah motosikal kerana minat, sanggup berhabis duit

Ubah motosikal kerana minat, sanggup berhabis duit

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam operasi khas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai kesalahan dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dilakukan penunggang motosikal dalam operasi khas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan malam tadi.

Antara kesalahan dikesan iaitu tiada cermin sisi selain sanggup bermodalkan ratusan ringgit untuk ubah suai ekzos daripada memasang brek belakang.

Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditahan, mengakui melakukan kesalahan itu kerana minat.

“Kamera di ‘handle’ ini untuk tengok ‘view’ sahaja….ekzos (paip) ini saya beli dalam RM350,” katanya di sini.

Pemeriksaan polis mendapati motosikal ditunggang lelaki itu bukan sahaja tiada brek belakang, malah tidak mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan.

Dalam pada itu, seorang lelaki yang membonceng anak sulungnya berusia 13 tahun menaiki motosikal Yamaha 125ZR dari Sungai Buloh, Selangor untuk ke Seremban semata mahu melihat suasana kumpulan konvoi motosikal hanya menjerat diri.

Ini kerana penunggang terbabit bukan sahaja tiada lesen memandu, malah motosikalnya juga tiada cukai jalan selain pelbagai kesalahan ubah suai termasuk ekzos.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 513 saman membabitkan pelbagai kesalahan selain turut menyita 19 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kebanyakan individu yang diperiksa berusia bawah 25 tahun.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada brek, tiada lampu, tiada nombor pendaftaran dan tiada lesen memandu yang mana ia juga antara punca kemalangan dan penyumbang statistik kematian akibat kemalangan motosikal.

“Alasan mengubahsuai motosikal kerana minat kenderaan dan mahu mengikut trend,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, JSPT menerima aduan yang memaklumkan berlaku banyak kemalangan akibat kegiatan lumba haram terutama pada malam minggu dan cuti panjang.

“Kita lihat dari Bangi hingga ke Kilometer 273 menghala selatan adalah laluan kebiasaan mereka berlumba. Ada beberapa kematian direkodkan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×