Railtec lebar kepakaran rel ke ASEAN

Railtec lebar kepakaran rel ke ASEAN

DELEGASI ARCEOs 2025 ketika hadir pada lawatan teknikal di Depoh Unit Tren Elektrik Berganda (EMU) Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN : Syarikat M. Rail Technics Sdn. Bhd. (Railtec) bersedia berkongsi kepakaran dalam penyelenggaraan tren elektrik laju (ETS) dengan negara ASEAN sekali gus menampilkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri rel serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mustaffa berkata, kepakaran itu boleh dikembangkan melalui eksport khidmat konsultasi, pengurusan projek dan penubuhan usaha sama (JV) tempatan dengan rakan di negara anggota.

“Sudah tentu kami akan membuat kajian bagi melihat liabiliti setiap projek diketengahkan selain liabiliti daripada segi ekonomi sebelum dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibuat keputusan. 

“Model kerjasama antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Railtec boleh dijadikan contoh di luar negara.  Kami ingin berkongsi teknologi, pengalaman dan kepakaran agar rakan-rakan ASEAN turut mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan teknikal Railtec bersama delegasi Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN ke-45 (ARCEOs 2025) di Depoh Unit Tren Elektrik Berganda (EMU) Seremban di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin. 

 Beliau berkata, beberapa syarikat ASEAN menyatakan minat untuk mengadakan mesyuarat susulan dengan Railtec sekali gus menandakan peluang baharu untuk memperluas kerjasama teknologi dan pemindahan kepakaran di rantau ini.

“Menerusi lawatan ini juga delegasi dapat melihat sistem kerja kami sebagai sebuah syarikat yang bersistematik termasuk penggunaan sistem digital terbaharu untuk diagnosis kerosakan. 

“Saya yakin ia membuka lebih banyak peluang bagi memperkukuh industri rel serantau dan memperkukuh reputasi Malaysia di mata antarabangsa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×