Hidupnya dahulu sederhana, tidak mewah tetapi penuh kebahagiaan.
Mahaniza Mohamad dan suami, kedua-duanya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran, saling menyokong dan berkongsi impian.
Tiba-tiba, hidupnya berubah sekelip mata.
Daripada riang dan penuh harapan, Mahaniza yang mesra disapa Kak Zah ini diuji dengan dugaan yang mencabar jiwa dan raga.
Suaminya, Muhammad Farhan Sedik, 43, lumpuh akibat strok, anak sulungnya pula terpaksa menjalani pembedahan kepala selepas kemalangan tragis.
“Suami saya tidak boleh kerja lagi. Jalan pun kena pakai kerusi roda. Malam-malam saya kena bangun setiap satu jam, bantu dia ke tandas, urut dia bila sakit menyerang… Semua saya yang urus,” ujar Kak Zah ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah menyayat hati, dugaan yang datang seolah bertimpa-timpa buat anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.
Beberapa bulan lepas, anak perempuan Kak Zah, Putri Nur Erisha Erina, 15, mengalami kecederaan parah akibat jatuh dari bangunan.
Pendarahan otak yang dialaminya menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan segera dan kini masih dalam proses pemulihan.
“Doktor kata pendarahan itu sudah ‘makan’ separuh daripada otak dia. Ketika itu, memang Kak Zah rasa dunia gelap.
“Tetapi alhamdulillah, anak Kak Zah kuat. Dua hari lepas pembedahan, dia sudah boleh buka mata. Sekarang dia boleh jalan sikit-sikit. Masih pakai lampin pakai buang, tetapi sudah boleh mandi sendiri,” ceritanya.
Tambah wanita berusia 44 tahun ini, sehingga ke hari ini masih tidak dapat disahkan bagaimana anak kesayangannya itu boleh terjatuh daripada tingkat tiga bangunan semasa berkumpul bersama rakan-rakan.
“Laporan polis sudah dibuat, rakan-rakan juga sudah disoal- siasat, namun polis kata kes sudah ditutup.
“Anak Kak Zah pun tidak ingat kejadian yang berlaku, jadi dia tidak beri sebarang kenyataan,” katanya.
BUAT PERKHIDMATAN SENDIRI
Disebabkan tidak boleh bekerja sepenuh masa, Kak Zah memulakan perkhidmatan kecil-kecilan yang dinamakan Pikul Pro. Ia adalah perkhidmatan membantu pembeli mengangkat barang dari pasar ke kereta atau membeli barang mengikut senarai yang diberikan pelanggan di sekitar Pasar Borong Selangor.
“Idea ini datang daripada perbincangan dengan suami. Dia tahu Kak Zah tidak boleh kerja mengikut waktu pejabat sebab dia perlukan bantuan untuk bergerak dan sebagainya.
“Jadi, dia cadangkan Kak Zah duduk dekat pasar, tolong orang angkat barang. Biar rezeki datang daripada situ,” cerita Kak Zah sambil tersenyum.
Begitupun, perkhidmatannya itu tiada harga tetap. Upah hanya seikhlas hati.
“Saya faham orang datang pasar sudah banyak habis duit. Hendak tetapkan harga, rasa tidak sampai hati. Ada yang bagi RM3, ada yang bagi RM10, saya terima semua. Asalkan halal, cukuplah buat beli lauk anak-anak,” katanya.
Sebelum ini, dia hanya menggunakan kotak terpakai untuk mengiklankan perkhidmatannya di pasar.
Mujurlah, ada salah seorang temannya yang bermurah hati untuk membantu menyediakan sepanduk yang lebih sesuai dan dibuat secara profesional.
“Rakan nampak Kak Zah ‘jerit-jerit’ panggil pelanggan, jadi dia kata mahu tolong buat sepanduk yang lebih sesuai. Sebab dia kata kalau asyik ‘jerit-jerit’ nanti hilang suara.
“Rakan Kak Zah juga yang cadangkan letak nama Pikul Pro. Mujurlah, ada yang sudi membantu,” katanya.
Kerja Kak Zah bukan mudah. Kadang-kadang tiada pelanggan langsung selama beberapa hari. Pernah empat hari berturut-turut dia tidak mendapat sebarang upah.
“Kami makan apa yang ada. Kadang-kadang saya cari kerja cuci pejabat. Naik basikal, tanya-tanya kalau ada tempat nak cuci pejabat.
“Dapat RM50 pun syukur sangat. Bila dapat duit, saya terus telefon anak-anak, tanya hendak makan apa. Dapatlah mereka makan sedap sikit,” katanya.
Kak Zah bukan wanita yang mudah mengalah. Dia percaya, selagi dia berusaha, Allah akan cukupkan rezeki mereka.
“Saya tidak boleh harapkan bantuan semata-mata. Alhamdulillah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada bantu. Tetapi, saya juga terus berusaha untuk membantu keluarga,” katanya.
Malah, dia turut menguruskan hal rumah, sekolah anak-anak, ubat suami, temu janji hospital dan segala urusan keluarga seorang diri.
Walaupun lelah jelas terpancar di raut wajahnya ketika kami bertemu baru-baru ini, namun wanita ini tidak lekang dengan senyuman.
Semuanya dianggap sebagai asam garam dalam kehidupan.

TIDAK KENAL ERTI PUTUS ASA
Lebih mengagumkan, Kak Zah tidak pernah membenarkan rasa malu atau rendah diri menghentikan langkahnya.
Dia berani mendekati orang ramai di pasar, memperkenalkan perkhidmatannya, memegang sepanduk sendiri dan menawarkan bantuan.
“Malu sudah letak tepi. Kalau duduk diam, siapa hendak bagi kita makan? Rezeki Allah bagi, tugas kita usaha. Orang mahu kecam atau hendak kata kerja kotor (tukang cuci) saya tidak kisah. Ini cara saya mencari rezeki halal,” ujar Kak Zah penuh yakin.
Kekuatan Kak Zah datang daripada cintanya kepada keluarga. Anak-anak dan suami menjadi sumber semangat yang tidak pernah padam.
“Saya tengok mak mentua saya jaga ayah mentua yang kudung kaki bertahun-tahun. Tanpa gaji, tanpa mengeluh. Saya fikir, kalau dia boleh, kenapa saya tidak boleh? Bezanya dia kat kampung, saya kat bandar. Itu saja,” katanya yang merupakan anak tunggal.
IMPIAN SEORANG IBU, ISTERI
Walaupun hidup penuh cabaran, Kak Zah masih menyimpan impian.
“Saya ada banyak idea perniagaan. Tetapi tidak ada modal. Banyak kali saya fikir sesuatu, lepas itu tengok-tengok, orang lain buat.
“Maknanya idea saya boleh ‘jalan’. Tetapi biasalah tiada gaji tetap, hendak mohon pinjaman pun susah,” luahnya.
Namun, ibu dua anak ini tidak pernah putus harapan. Bagi dirinya, asalkan dapat keluar daripada kitaran kemiskinan dan beri kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak, itu sudah cukup.
“Bukan senang hendak jadi senang. Tetapi hendak jadi cukup, insya-Allah boleh,” katanya penuh harapan.
Di saat ramai wanita rebah hanya dengan satu ujian, Kak Zah bangkit walau diuji bertubi-tubi.
Dia menjadi tonggak keluarga, penjaga suami yang lumpuh, ibu kepada anak yang sakit dan pencari rezeki utama.-UTUSAN










