SUNGAI PETANI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya mempermudahkan proses penggantian MyKad rosak dengan tempoh siap sekitar 30 minit bagi mengelakkan kesesakan di kaunter, susulan pelaksanaan subsidi minyak RON95 secara bersasar tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting kerana MyKad akan menjadi dokumen utama pengesahan rakyat Malaysia sebelum melakukan sebarang pembelian minyak di stesen.
“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias supaya pihaknya dapat memastikan proses penggantian MyKad rosak dipermudahkan bagi mengelakkan kesesakan di pejabat pendaftaran.
“JPN sedang usahakan proses penggantian MyKad siap dalam masa 30 minit sahaja. Itu perlu dihebahkan supaya orang ramai tidak bimbang,” katanya selepas merasmikan Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara Malaysia di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, keperluan MyKad amat kritikal kerana terdapat lebih dua juta transaksi minyak berlaku setiap hari di lebih 4,000 stesen di seluruh negara.
Menurut beliau, rakyat Malaysia diminta supaya segera menyemak cip MyKad masing-masing sama ada berfungsi dengan baik atau tidan sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.
Beliau mendedahkan, JPN kini merekodkan kira-kira 1,000 kes penggantian MyKad rosak setiap hari, bersamaan 30,000 sebulan atau 360,000 setahun.
Tambahnya, setakat ini lebih 24 juta MyKad telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia dan cip tersebut tidak mempunyai tarikh luput, namun tetap perlu diperiksa bagi memastikan ia berfungsi.
Sementara itu, Saifuddin berkata harga RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter hujung bulan ini dan pengumuman rasmi mengenai subsidi bersasar akan dibuat oleh Kementerian Kewangan.-UTUSAN











