PETALING JAYA: Sebanyak 20 pasukan korporat elit mewakili syarikat ternama bakal berentap di Kota Permai Golf & Country Club pada 25 September ini dalam perlawanan akhir Kebangsaan World Corporate Golf Challenge (WCGC) Malaysia 2025.
Kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi pentas persaingan sengit dalam sukan golf, malah turut mengangkat semangat penyatuan antara dunia korporat, penaja dan komuniti sukan.
WCGC Malaysia yang diadakan di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dijangka turut berangkat pada majlis penyampaian hadiah perlawanan akhir itu.
Baginda bertitah, WCGC bukan sekadar pertandingan golf, sebaliknya sebuah platform yang menyatukan pemimpin korporat, penaja serta ikon sukan bagi membina jaringan hubungan dan menonjolkan kecemerlangan.
“Beta menantikan untuk menyaksikan semangat persaingan dan kerjasama apabila Malaysia melangkah ke Pentas Akhir Dunia,” titahnya.
Penasihat WCGC Malaysia, Mohd. Salim Mohamed Sain pula berkata, penganjuran kejohanan itu membuktikan Malaysia berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai pemain utama dalam arena sukan korporat global.
“Kejohanan ini adalah satu perayaan kecemerlangan korporat, jalinan persahabatan antarabangsa serta semangat persaingan sihat,” katanya.
Juara kebangsaan bakal membawa cabaran negara ke Pentas Akhir Dunia WCGC di Shanghai, China dari 19 hingga 23 Oktober depan.
Mereka akan bersaing bersama wakil daripada 32 negara di Shanghai Dongzhuang Beach Golf Club dengan Linksland Course menjadi gelanggang utama WCGC manakala Parkland Course menganjurkan Sports Legend Cup.
Para peserta juga akan ditempatkan di hotel rasmi kejohanan, Pudong Shangri-La.
Pentas Akhir Kebangsaan tahun ini merupakan kemuncak kepada empat pusingan kelayakan yang membabitkan lebih 480 pemain sepanjang Mei hingga Ogos lalu.
Empat pusingan kelayakan yang berlangsung sebelum ini membabitkan penyertaan seramai 108 pemain di Kelab Golf Seri Selangor pada 22 Mei.
124 pemain di Tropicana Golf & Country Resort pada 24 Jun, 132 pemain di Glenmarie Golf & Country Club pada 22 Julai serta 120 pemain di Templer Park Country Club pada 21 Ogos.-UTUSAN











