Abuya tidak mengaku amang seksual pelajar tahfiz

Abuya tidak mengaku amang seksual pelajar tahfiz

MOHAMAD Aswadi Yah (bergari) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. – UTUSAN / PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang mudir pondok di Tumpat, Kelantan dikenali sebagai Abuya me­ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal di sebuah premis di Jalan Pantai Batu Rakit, Kampung Mengabang Telong, Kuala Terengganu pada kira-kira pukul 9 malam, 15 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 apabila didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh yang juga guru agama, berkahwin dan mempunyai empat anak hadir ke mahkamah ditemani peguamnya, Mohd. Irwan Sumadi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.

Tertuduh sebelum ini turut berdepan tujuh pertuduhan berasingan melibatkan liwat, amang seksual dan memiliki bahan lucah sejak Jun 2024 hingga Ogos lalu.

Sebutan semula kes 5 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×