Asing undang‑undang pengambilan tanah elak disalahguna pemaju

Asing undang‑undang pengambilan tanah elak disalahguna pemaju

JOHARI Abdul Ghani dalam temubual khas Podcast Utama TV3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengasingkan undang‑undang pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan semula perumahan dan infrastruktur bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak pemaju.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, akta pengambilan tanah sedia ada pada asalnya direka untuk memudahkan projek infrastruktur seperti jalan raya, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan loji rawatan air, tetapi kini sering disalahgunakan untuk tujuan komersial dan pembangunan perumahan semula.

“Kaedah sama tidak wajar digunakan untuk kedua-dua tujuan kerana ia berpotensi dimanipulasi, menyebabkan pampasan tidak adil dan menjejaskan generasi pemilik asal khususnya komuniti Melayu di kawasan warisan seperti Kampung Sungai Baru,” katanya menerusi Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, undang‑undang pengambilan tanah perlu mempunyai dua kategori jelas iaitu untuk kepentingan awam dan pembangunan perumahan dengan syarat dan skim pampasan berbeza supaya tidak disalah guna sebagai alasan kepentingan awam semata-mata.

Beliau turut memberi amaran terhadap kebiasaan pemaju yang didakwa mengeksploitasi kekosongan undang‑undang untuk keuntungan komersial.

“Sebagai contoh, terdapat kawasan seluas 7.8 hektar yang dilaporkan menghasilkan pampasan sekitar RM62 juta, jauh daripada nilai sebenar pasaran dan tidak setimpal dengan kerugian pemilik asal.

“Apabila pemaju mendapat tanah pada kos rendah, mereka boleh pindah milik, memohon pinjaman bank dan meraih keuntungan tanpa manfaat kepada penduduk asal,” katanya.

Johari turut mempersoalkan perlaksanaan projek yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menyelesaikan tuntutan, menimbulkan beban berpanjangan kepada penduduk yang menunggu rumah ganti, malah ada pemilik yang meninggal dunia sebelum tuntutan mereka selesai.

“Tiga penilai swasta perlu dilantik untuk menentukan pampasan yang lebih tepat dan kompetitif sekali gus mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak berkepentingan.

“Ia bagi mengurangkan manipulasi nilai, beliau mencadangkan supaya tidak bergantung kepada satu laporan penilaian sahaja, katanya.

Kampung Sungai Baru sebelum ini menjadi tumpuan apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.

Pada 2021, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.

Arahan pengosongan minggu lalu itu merupakan percubaan kedua pihak berkuasa sejak Julai untuk mengeluarkan 14 penduduk di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×