TAWAU: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai Balung River Eco Resort, Batu 24 Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa berusia 16 tahun
ditemukan pasukan penyelamat dengan jarak 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.24 petang sebelum menggerakkan sepasukan 10 anggota bersama jentera penyelamat ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer(KM).
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian bagi mengesan mangsa.
“Mangsa ditemukan pasukan penyelamat dengan jarak 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas dengan kedalaman 3 kaki dan tersangkut di celah batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi turut disertai anggota polis yang membantu kerja-kerja pencarian di sekitar kawasan dan ditamatkan sepenuhnya pukul 5.35 petang. – UTUSAN










