‘Bersatu juga tanggung kos pilihan raya’

‘Bersatu juga tanggung kos pilihan raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menanggung kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang memberi peluang kepada Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu satu jumlah besar dalam sejarah parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Pas tidak menghadapi besar dalam perbelanjaan pilihan raya kerana parti itu bertanding menggunakan logo PN.

“Apabila mereka bertanding menggunakan logo PN, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.

“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas. Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah Pas sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia.

“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada Pas yang saya percaya Sanusi sendiri tahu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat satu parti komponen PN bergantung kepada Pas untuk menghadapi PRU15.

“Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua.

“Kita berharap rakan-rakan kita memahami situasi yang kita akan hadapi pada masa depan. Mereka kena juga berkorban dari bawah sampai ke atas seperti kita yang buat,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah.

Marzuki berkata, beliau setuju dengan anggaran dana pilihan raya bernilai RM1 juta untuk satu kawasan Parlimen seperti dijelaskan Muhammad Sanusi.

“Jumlah RM1 juta ini bagi saya ‘bare minimum’. Kalau serius nak menang pilihan raya jumlahnya mungkin lebih besar. Ia pula bergantung kepada jumlah pengundi, saiz kawasan parlimen dan keperluan logistik yang berbeza-beza.

“Ini belum masuk kos kajian pilihan raya, kos pengiklanan di media,” katanya.

Katanya, ia bermakna jumlah perbelanjaan pilihan raya memakan kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mana-mana parti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini