PUTRAJAYA: Satu kerangka kawal selia akan diwujudkan bagi memantau zon ekonomi altitud rendah termasuk industri dron di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) merupakan badan yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan merangka garis panduan operasi yang bersesuaian bagi sektor tersebut.
“Kita perlu ada kerangka kawal selia ekonomi altitud rendah kerana ia sangat penting dan mesti dilaksanakan oleh pihak CAAM. Apa sahaja industri baru tanpa satu kerangka kawal selia yang jelas, ia tidak boleh ‘take off’ terutamanya dalam bidang yang melibatkan penerbangan ini.
“Walaupun pada altitud rendah, tapi ia melibatkan penerbangan, mungkin ada penumpang atau pun kargo. Jadi kita lihat kepada aspek keselamatan dan sebab itu saya kata bahawa ini tugas dan tanggungjawab CAAM untuk melihat bagaimana kita boleh mengawal selia industri baharu ini dengan baik,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan identiti korporat baharu CAAM di sini hari ini.
Untuk rekod, ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan ruang udara di bawah ketinggian tertentu iaitu sekitar 1,000 meter untuk pelbagai aplikasi termasuk penggunaan teksi terbang, penghantaran pakej menggunakan dron, pertunjukan cahaya dron, dan perkhidmatan kecemasan pantas, selaras dengan perkembangan teknologi kenderaan elektrik dengan keupayaan mendarat dan berlepas secara menegak (eVTOL).
Menurut Anthony Loke, beliau tidak mahu kerangka kawal selia berkenaan dirangka secara berlebihan sehingga mengganggu perkembangan sesebuah industri.
“Kita punya prinsip ialah kita tak mahu over-regulate supaya tidak membunuh sesuatu industri itu, kerana kalau kita terlalu over-regulate susah untuk mana-mana pemain industri masuk ke dalam pasaran.
“Sebab ekonomi altitud rendah ini melibatkan pelbagai koordinasi. Mereka perlu ada ruang untuk beroperasi, jika menggunakan drone mesti ada satu tempat untuk berlepas dan mendarat. Bagaimana mereka perlu tangkas dan fleksibel, jadi semua itu memerlukan kawal selia,” katanya.
Beliau mahu CAAM sentiasa memahami keadaan semasa serta dapat mendahului perkembangan teknologi agar Malaysia tidak ketinggalan dalam revolusi industri penerbangan baharu itu.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, penggabungan antara CAAM dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjadikan pihak berkuasa itu sebagai regulator tunggal dalam sektor penerbangan negara untuk membolehkan semua dasar dan kawal selia industri penerbangan diselaraskan di bawah satu entiti bagi memastikan sistem lebih tersusun serta berkesan.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan menyemak semula peraturan sedia ada agar ia lebih selari dengan keperluan semasa dan perkembangan industri.
“Sebab sektor penerbangan ini merupakan satu sektor yang sangat regulated, banyak peraturan jadi peraturan-peraturan ini kadang kala kita perlu lihat kembali. Ada peraturan-peraturan yang mungkin tidak mengikut peredaran zaman perlu dilihat dan dikaji semula dan perlu ada pindahan dari masa ke semasa dan banyak proses dalam peraturan-peraturan ini yang mungkin kita boleh pemudahkan.
“Dan salah satu contoh yang telah kita permudahkan adalah dari segi pendigitalan kerana dalam CAAM ini ada pelbagai jenis lesen, semua orang kena ada lesen. Jadi salah satu penambahbaikan yang kita telah buat adalah pendigitalan lesen ini, maksudnya mereka tak perlu lagi perbaharui secara fizikal,” ujarnya. – UTUSAN








