PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam pendengaran kes rasuah projek solar dihadapinya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati rayuan difailkan Rosmah selaku perayu tidak mempunyai merit.
“Pihak perayu telah gagal menunjukkan terdapat merit dalam rayuan. Dengan itu mahkamah menolak rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 1 September 2022,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 1 September tahun yang sama, Hakim Mohamed Zaini (kini hakim Mahkamah Rayuan) telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 5 Mac lalu, Rosmah memfailkan permohonan itu pada 1 September 2022 atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.
Ujar hakim itu, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya sendiri.-UTUSAN










