UPSI sumbang RM420,000 kepada waris nahas bas Gerik

UPSI sumbang RM420,000 kepada waris nahas bas Gerik

NORKHALID SALIMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan sumbangan RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terlibat dalam nahas di Gerik pada 9 Jun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, setiap waris mangsa yang terkorban dan cedera menerima sumbangan RM10,000 menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik.

Beliau berkata, Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan sebagai inisiatif khas untuk me­ngumpul dana bagi membantu mangsa serta keluarga mereka.

“Ia adalah simbol solidariti seluruh warga universiti bersama komuniti terhadap penderi­taan yang ditanggung keluarga pelajar.

“Sebelum ini, sejumlah RM1.7 juta berjaya ­dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak,” katanya dalam ­kenyataan semalam.

Majlis penyerahan sumba­ngan itu berlangsung di Pasir Puteh, Kelantan semalam dengan dihadiri lebih 100 ahli ke­luarga, pelajar serta waris mang­sa.

Norkhalid berkata, sumba­ngan tersebut mencerminkan keprihatinan UPSI terhadap nasib keluarga pelajar yang terkesan dengan tragedi itu.

“Saya amat terharu dengan ketabahan ahli keluarga dan pelajar yang terus cekal menghadapi situasi getir ini.

“Diharapkan bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka, selain memberi dorongan kepada pelajar lain untuk terus menuntut ilmu,” katanya.

Dalam tragedi awal pagi 9 Jun 2025, 15 penuntut UPSI terkorban apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjong Malim, Perak terbabas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Ban­ding, Gerik.

Kemalangan ngeri itu turut mengakibatkan 33 lagi cede­ra termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN