KUALA PILAH: Cendol ‘bas stand’ Kuala Pilah begitu dikenali penduduk daerah ini kerana keenakkan rasanya yang telah diwarisi berpuluh tahun lamanya.
Bagi pengusahanya, Abu Backer Sithiq Mustafa, 65, berkata, bapanya mula menjual cendol sekitar tahun 1950-an dengan menggunakan kereta tolak di sekitar perhentian bas Kuala Pilah sebelum beralih ke gerai tetap kira-kira 25 tahun lalu.
Abu Backer berkata, dia meneruskan perniagaan cendol keluarganya selepas bapanya meninggal dunia pada 1970.
“Semasa kecil, saya sering membantu ayah menjual cendol di sekitar perhentian bas. Jadi, selepas ayah meninggal dunia, saya terpaksa berhenti sekolah dan mengambil alih perniagaan untuk membesarkan tiga orang adik saya yang lain.
“Saya masih menggunakan resipi cendol asal daripada arwah ayah. Semua bahan cendol termasuk santan, gula melaka dan kacang merah masih diproses dengan kaedah tradisional bagi mengekalkan rasa asli yang diwarisi sejak 70 tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di gerai miliknya di Perhentian Bas Kuala Pilah.
Bagi Abu Backer, paling menggembirakan dirinya sepanjang berniaga apabila pelanggan yang pernah menikmati cendolnya sejak kecil kini kembali membawa anak dan cucu mereka.
“Ada yang datang beritahu, dulu masa sekolah sementara tunggu bas, mereka akan datang singgah minum cendol di gerai saya, tetapi sekarang ini bawa keluarga pula,” katanya. – UTUSAN











